MELLY
MELLY
Amirul Haswendy Ashari


Ramai beranggapan album runut bunyi Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2) selepas kelahiran album runut filem sama untuk sekuel pertama dulu, jauh lebih baik, dan lagu dimuatkan dikatakan karya paling agung (masterpiece) buat penyanyinya sendiri, Melly Goeslaw.

Ditemui baru-baru ini sewaktu hadir mempromosikan filem AADC2, Melly hanya ketawa apabila ditanyakan perkara itu dan menegaskan untuk mengelaskan album itu sebagai antara ‘masterpiece’ pernah dihasilkan olehnya adalah keterlaluan.

“Ia bergantung kepada selera masing-masing sebenarnya. Kalau mahu berbicara soal ‘masterpiece’, rasanya album jika lebih baik dari segi penghasilan dan penerimaan peminat.”

“Saya ada perancangan untuk hasilkan album solo terbaru selepas habis aktiviti promosi AADC2. Jika tiada aral dalam tahun ini juga,” kata Melly ditemani suami, Anto Hoed yang turut bekerjasama dalam pembikinan album runut AADC2.

Album runut AADC2 berupa karya ‘kemunculan’ semula pasangan itu selepas berjaya mencipta sejarah tersendiri menerusi runut bunyi AADC, 14 tahun lalu.

Kata mereka, untuk mengimbau kembali kehangatan sekuel pertama AADC, dua lagu popular filem itu diberi nafas baru, yakni Bimbang dan Suara Hati Seorang Kekasih.

Selebihnya sebanyak enam lagu lagi berupa ciptaan baru daripada mereka berdua.

Beralih topik mengenai suasana industri muzik Indonesia, Melly akui pada masa ini, ‘trend’ penghasilan album fizikal tidak sehebat dulu.

Apatah lagi, industri muzik sudah pun mengalami perubahan dengan lebih ramai artis menghasilkan lagu dalam bentuk digital.

Di satu sudut, ia membuatkan ramai pengusaha cakera padat (CD) termasuk kedai jualan muzik gulung tikar.

Melly dan Anto mendedahkan, kedai yang menjual CD muzik tidak wujud lagi di negara itu menyebabkan peminat dan artis terpaksa mencari alternatif lain menjual dan mendapatkan karya dihasilkan.

Disebabkan itu, mereka terpaksa berusaha semaksimum mungkin untuk memasarkan lagu dihasilkan apabila berhadapan dengan situasi industri yang dianggap sedang parah oleh sesetengah pihak.

Antara cara dilakukan pasangan itu adalah menjalin kerjasama dengan syarikat tertentu seperti restoran makanan segera.

“Kami bekerjasama dengan CFC (California Fried Chicken) yang mempunyai cawangan di seluruh Indonesia. Setiap album kami boleh diperoleh dengan pembelian set makanan yang mereka tawarkan.

“Dengan cara ini, album fizikal masih boleh diperoleh tapi dengan cara berbeza. Lebih 60 peratus jualan album AADC2 datang daripada jualan di CFC.

“Kurang seminggu selepas dilancarkan, sebanyak 2,800 keping CD berjaya dijual,” kata Melly gembira.

Harapan mereka, album AADC2 mampu menjadi sebuah karya yang tidak hanya dinikmati pencinta muzik tempatan malah menjadi rujukan dan mencatat sejarah buat perkembangan industri muzik Indonesia.

Dalam pada itu, Anto berkata situasi itu jauh berbeza dengan keadaan industri sekitar empat lima tahun lalu. Pada tempoh itu, ramai pengkarya tidak dapat menerima perubahan daripada album fizikal kepada digital.

Tapi dari semasa ke semasa, perubahan itu mulai diterima baik oleh penggiat industri dan peminat. Ia secara tidak langsung membuka peluang dan membina cabang lain untuk memasarkan album.

Anto berpendapat, CD masih lagi diperlukan cuma dalam jumlah yang terhad.

“Ia perlu sebab CD mahu jadikan sebagai khazanah koleksi tersimpan dalam bentuk fizikal dan ia berbeza dengan digital yang jika disimpan boleh mencapai beribu-ribu senarai dalam sebuah fail digital.

“Malah, sudah ada penggiat yang menghasilkan album muzik dalam bentuk piring hitam dan menjadikan ia sebagai item koleksi terhad buat peminat,” katanya.

Tambahnya, industri perlu terima dan menyumbang kepada perubahan yang berlaku tapi pada masa sama perlu bertanggungjawab untuk ubah keadaan.

Begitu juga pendapat mereka mengenai kewujudan penyanyi atau komposer ‘segera’ yang muncul daripada laman sosial terutama YouTube.

Kata mereka, ia bukan masalah buat komposer dan penyanyi lama seperti mereka kerana setakat ini, khidmat komposer berpengalaman dan profesional masih lagi relevan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:03 AM