Hi! Ahad. Tiba hujung minggu bermakna pembaca setia Selebriti, Metro Ahad akan bertemu dengan adik dalam ruangan cukup istimewa ini. Terima kasih kepada semua yang memberi cadangan dan idea untuk kolum ini. Adik sentiasa baca setiap kiriman semua. Teruskan menghantar ya!

Minggu ini coretan adik istimewa sikit. Ada kejutan! Jangan ingat program realiti TV saja ada kejutan-kejutan ni, Muahciked pun ada kejutan tau! Itulah untungnya orang yang bangun awal ditambah pula dengan sikap suka membaca dan harus membuka helaian akhbar pagi hari.

Apa yang pasti, lama dah adik rancang kejutan ini. Namun, ramai yang tidak tahu apakah kejutan adik maksudkan itu. Kalau dah namanya pun kejutan, sudah tentulah orang tidak akan tahu. Ching!

Bagaimanapun, niat adik sebenarnya cuma nak tengok siapakah gerangan pembaca setia kolum Muahciked ini. Harap semua dapat bertenang dan terus sabar membaca hingga ke akhir.

Budaya dan adat orang Melayu memang terkenal dari segi hormat menghormati. Dari kecil lagi, memang kita sering diajar supaya menghormati sesiapa pun tidak kira tua atau muda.

Jadi, minggu ini topik yang mahu adik bincangkan adalah berkaitan isu ‘respek’. Isu ini, adik ambil berdasarkan cadangan yang diterima daripada pengirim e-mel dan secara tidak langsung kena dengan tema bagi majlis anugerah yang akan berlangsung minggu hadapan.

Apa lagi kalau bukan malam kemuncak berprestij Anugerah Bintang Popular BH 2016 (ABPBH 2016) yang kini mencecah edisi ke-29 penganjurannya.

Paling utama, memang ada banyak cara untuk kita menunjukkan rasa respek terhadap orang lain. Bagi adik, semudah memberi salam itu juga dianggap menghormati.

Dalam setiap yang kita lakukan, hormat-menghormati adalah aspek sangat penting. Tidak kira dalam bidang kerja atau aktiviti yang kita lakukan, respek adalah perkara pertama yang perlu diambil kira.

Celik mata bangun pagi, makan, berjalan, bercakap, memandu, sehingga tengah tidur pun, kita mesti menghormati. Ini kalau tidur berdengkur sampai jiran dengar, memang nak kena la kan!

Dalam permulaan adik membina kerjaya sebagai anak seni, diakui memang adik langsung tidak mengenali sesiapa pun individu atau ‘orang kuat’ dalam industri ini.

Namun begitu, membahasakan diri sebagai ‘adik’ menjadi perkataan rutin untuk adik menunjukkan rasa hormat kepada mereka yang lebih dewasa. Maka, sampai sekaranglah melekat perkataan ‘adik’ itu.

Tiada apa-apa maksud pun. Cuma, adik selesa membahasakan diri sebagai ‘adik’ ketika berbual dan ramah mesra dengan semua orang. Jadi, jangan ingat pula adik mahu ‘bajet’ muda tetapi sebenarnya dah tua ya.

Bila kita saling hormat-menghormati, itu akan menunjukkan nilai budi pekerti kita. Secara tidak langsung, kita menunjukkan betapa tingginya ilmu yang kita ada.

Bahkan, apabila kita pandai hormat orang, secara automatik orang akan berfikir kita berpendidikan tinggi. Maka, senang cakap lubang-lubang jerawat pun boleh jadi ‘flawless’ bila kita pandai hormat orang. Ching!

Bagi jenis yang muka nak ketat saja dan mungkin tidak tahu nak hormat orang, belajar setinggi mana pun tak berguna. Ingatlah, sentiasa ada yang lebih baik daripada kita.

Hormat bukan sekadar sesama manusia, namun menghormati persekitaran juga perlu. Oleh itu, jangan lupa tengok sekeliling dulu sebelum berniat buat sesuatu.

Secara tidak sedar juga, setiap apa yang kita ‘muat naik’ dalam laman sosial perlulah berhemah dan menghormati orang lain. Jangan main sedap tangan seronok tulis untuk memuat naik sesuatu hanya disebabkan ramai ingin meluahkan apa yang kita fikir ia betul.

Sekali lagi, saya tegaskan jika kita nak dihormati, maka kita perluw tahu untuk menghormati orang lain. Sebenarnya banyak yang boleh dibincangkan berhubung isu ‘respek’ ini.

Cuma, adik sekadar menyentuh perkara yang umum saja. Adik simpulkan dengan prinsip yang adik selalu jadikan pengangan untuk diri iaitu ‘respect is earned, not given. If you seek for it, you seek attention not respect’.

Berbalik kepada ‘kejutan’ yang adik sudah uar-uarkan pada permulaan coretan tadi. Kalau ada yang peka, pada setiap minggu kolum Muahciked ini pasti adik ada mengakhirinya dengan tanda ‘#’.

Sekarang, pergi tengok balik kolum Muahciked yang sudah disiarkan dalam sisipan Selebriti Metro Ahad pada beberapa minggu lalu sejak adik menulis dalam ruangan istimewa ini dan cantumkan perkataan ‘#’ berkenaan termasuk dengan ‘#’ baru bagi coretan minggu ini.

Tidak lupa, ingin adik ingatkan supaya anda yang setia membaca ruangan ini supaya terus memberi cadangan yang menarik mengenai topik atau apa sahaja cerita terbaik yang boleh adik kongsikan untuk kolum Muahciked ini.

Kirimkan setiap cadangan anda kepada e-mel rasmi Muahciked iaitu [email protected] berserta dengan nama, nombor telefon, alamat dan nama Instagram (IG).

Pemenang akan adik pilih berdasarkan kepantasan menghantar e-mel jawapan dan kreativiti cadangan itu. Hadiah dia apa? Tunggu... Hidup ini penuh kejutan. Selamat #berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 6:19 AM