Ayda Jebat

Salam Ahad yang indah bagi semua pembaca kolum Muahciked. Harap sentiasa cergas dan sihat bersama insan tersayang.

Rasanya minggu ini adik-adik tingkatan lima sibuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pastinya ini juga minggu yang mendebarkan bukan sahaja kepada adik tetapi juga ibu bapa. Tak terkecuali, golongan guru juga.

Maklumlah, peperiksaan SPM juga tak boleh diambil mudah apatah lagi ia umpama permulaan dalam perjalanan kehidupan.

Sudah pasti setiap ibu bapa mengharapkan keputusan yang cemerlang. Justeru, adik mendoakan supaya semua calon yang menduduki SPM tahun ini dapat mengharunginya dengan baik.

Untuk minggu ini, adik terfikir nak membincangkan topik mengikut kesinambungan bagi perkataan ‘mengharungi’.

Mungkin ramai yang sedia maklum persaingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 31 sudah pun berakhir dan keputusannya tidak berpihak lagu Pencuri Hati.

Seperti lagu Siapa Diriku tahun lalu, percubaan adik menerusi lagu Pencuri Hati kali ini pun gagal untuk bertanding dalam malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL).

Terus terang, tipulah jika adik kata tak sedih langsung apatah lagi lagu Pencuri Hati memang membawa banyak makna pada adik.

Lagu ini membuatkan adik berani ambil risiko untuk cuba meletakkan banyak elemen yang lebih segar dan baru untuk pasaran muzik tempatan.

Masih segar lagi di ingatan ini, adik menulis lirik lagu Pencuri Hati hingga sampai minit terakhir dalam penerbangan ke Indonesia untuk proses rakaman.

Apa nak dikata, itulah suka duka yang menjadi memori indah adik ketika mahu melakukan proses rakaman lagu.

Terlalu banyak pengalaman manis yang adik lalui sepanjang pembikinan lagu Pencuri Hati termasuk ketika aktiviti promosi.

Mungkin banyak persoalan dan pertanyaan mahupun pendapat atau pandangan masing-masing berkaitan keputusan separuh akhir itu.

Tetapi bagi adik, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Sewaktu keputusan diumunkan pun adik sudah bersedia dengan setiap kemungkinan yang akan berlaku.

Adik terima dengan hati terbuka. Keputusan itu pasti sudah dinilai dengan penuh teliti dan jujur. Pada adik, janganlah kita hanya memikirkan diri sendiri. Belajar menerima daripada asyik mempertikaikan sesuatu.

Perkara ini membuatkan adik banyak belajar daripada pengalaman. Apatah lagi apabila adik gagal atau tewas pasti ia menjadi topik hangat dan ‘trending’ dalam laman sosial.

Apabila adik menang sesuatu anugerah dalam majlis hiburan berprestij sama ada di Malaysia mahupun luar, ramai juga yang mempertikaikan.

Bermacam-macam pandangan mengenai kemenangan adik diperkatakan. Bagaimanapun, tak kurang juga yang memberi sokongan.

Adik akui perasaan ini ada kala memang tidak selesa apabila melihat ramai juga orang yang mewujudkan pelbagai persoalan.

Begitulah juga mereka yang mengecapi kejayaan dalam separuh akhir itu. Senang cakap, bila orang buat kita, tentu kita tak suka. Jadi jangan buat pada orang lain.

Kalau buat juga, nampaknya tak ada beza pun antara kita dengan mereka. Justeru, dari situ timbul perkataan ‘menerima itu lebih baik’.

Ingin adik ingatkan, jangan kita sekali-kali cuba mempertikai rezeki yang diberikan Tuhan kepada orang lain. Siapa kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Selagi kita menggunakan lima jari untuk menyuap rezeki itu, kita adalah sama.

Kepada semua yang menyokong adik, kekal positif. Anda tahu kerana andalah adik masih kuat bertapak dalam industri seni ini.

Adik sedar, banyak lagi cabaran yang akan mendatang. Harap semua kekal fokus. Terima kasih kepada semua ‘Pencuri Hati’ adik. #terima

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:06 AM