Ahmedabad: Seorang hartawan dermawan menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai untuk meraikan 111 wanita yang ketiadaan bapa.

Mahesh Savani, 44, yang menjadikan aktiviti perdagangan berlian sebagai sumber pendapatan berkata, keluarga terbabit terlalu miskin untuk membiayai perkahwinan mereka.

Kata Savani, mereka juga menganggapnya sebagai bapa angkat.

“Saya perlu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa kepada pengantin perempuan,” katanya kepada AFP sejurus sebelum majlis berkenaan dimulakan di sebuah sekolah di Gujerat semalam.

Selain membiayai perkahwinan itu, Savani juga menghadiahkan setiap seorang pengantin wanita barang kemas serta kemudahan lain bernilai R450,000 (RM24,920) untuk membantu memulakan hidup baru.

Kata Savani, apa yang dihadiahkan tidaklah terlau penting sebaliknya melunaskan tanggungjawab sebagai seorang ‘bapa’ lebih mustahak.

“Mengahwinkan anak adalah perbuatan yang suci,” katanya.

Savani yang sudah menganjurkan majlis perkahwinan untuk 251 wanita sebelum ini berkata, aktiviti amal itu bermula sejak 2008 apabila seorang daripada kakitangan syarikatnya meninggal dunia.

“Saya terkejut dengan kematian yang berlaku hanya 12 hari sebelum dia mengahwinkan anak perempuannya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:07 AM