MENJAYAKAN watak Matt Wozniak, seorang detektif polis yang jahat.
MENJAYAKAN watak Matt Wozniak, seorang detektif polis yang jahat.
Georgie Joseph


Dalam industri filem Hollywood, nama Ray Liotta yang aktif sebagai pelakon sejak 1978 bukanlah asing.

Terbaru, pelakon filem Goodfellas berusia 61 tahun ini menjayakan watak utama dalam siri Shades of Blue sebagai anggota polis bernama Matt Wozniak.

Siri yang diilham dan dilakonkan penyanyi Jennifer Lopez atau JLo tentu sekali ada cabarannya tersendiri.

Ternyata ia bukan kerjasama mudah kerana ada laporan di Internet mengatakan Ray pernah bertekak dengan JLo yang juga penerbit siri itu mengenai skrip.

Ketika ditanya jika ada yang mahu dirombaknya pada skrip itu, jawapan Ray nyata mengejutkan.

“Saya tidak tahu jika saya mahu berbuat demikian. Saya gembira dengan hasilnya kerana keaslian siri itu berjaya disebabkan Jennifer sendiri. Dia sudah lama menyimpan skrip itu dan setiap tahun ke NBC untuk memastikan ia ditayangkan.

“Persoalannya hanya Jennifer mahu atau tidak melakonkan watak sebagai perempuan jahat. Jika anda menonton drama ini, anda akan nampak dia sangat-sangat bagus.

“Saya tidak dapat gambarkan jika orang lain menjayakan siri itu dan bukannya Jennifer,” katanya yang sangat menyokong pembabitan penyanyi itu.

Sudah kerap melakonkan watak polis, tetapi dalam Shades of Blue dia perlu menjadi lebih jahat.

Ray menyifatkan watak Matt ada kekuatannya.

“Dalam siri itu, saya mempunyai seorang anak perempuan yang cuba membunuh diri. Kebetulan Harlee yang dilakonkan Jennifer muncul. Anak saya seperti anaknya dan saya juga menjadi bapa angkat kepada anaknya. Jadi, kombinasi setiap perkara itu yang mampu menjawab apa bezanya watak saya sebagai polis kali ini.

“Wataknya juga lebih bersifat kebapaan dan sangat sensitif walaupun terbabit dalam banyak perkara yang tidak elok. Itulah perbezaan paling besar dalam melakonkan watak Matt,” katanya kepada Harian Metro dalam temu bual menerusi telefon, baru-baru ini.

Enggan lakon drama bersiri

Pada mulanya, Ray yang lebih aktif sebagai pelakon filem tidak berminat untuk berlakon dalam drama bersiri.

Namun, ternyata ada sesuatu yang membuatnya bersetuju menjayakan Shades of Blue.

Ditanya apa sebenarnya yang membuatkan dia menerima tawaran berlakon dalam drama itu, Ray berkata, dia melihat ia cara terbaik untuk mengangkat kerjaya lakonannya.

“Sebenarnya, saya lakukan ini untuk mendapat tawaran berlakon filem yang lebih bagus. Selain itu saya juga melihat landskap perniagaan hiburan sudah berubah.

“Kini semakin ramai pelakon yang berlakon drama bersiri mendapat kelebihan untuk berlakon filem. Saya sentiasa mencintai industri filem dan dapat bekerja setiap minggu untuk siri adalah sangat menarik walaupun wataknya sukar.

“Saya bersyukur kerana maklum balas yang diterima sangat positif. Apabila itu berlaku, peluang saya mahu terbabit dalam filem selepas ini mungkin lebih senang dan saya harap ia mampu membuka lebih banyak pintu rezeki kepada saya,” katanya.

Shades of Blue yang mengisahkan mengenai skandal dan kisah polis di New York ditayangkan setiap Selasa, jam 9 malam di saluran Universal Channel (HyppTV 612).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 5:00 AM