Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Lebih 1,000 pelajar berusia 13 hingga 16 tahun menyertai Karnival Keselamatan di Metro Driving Academy, Puchong, anjuran Domino's Pizza di bawah Program Domino's Sokong Sekolah (DSSP).

Karnival ini menekankan pelbagai isu seperti keselamatan di jalan raya, cara menjauhi gejala sosial dan mengajar cara untuk menangani pembuli siber serta mengendalikan situasi cemas.

Selain menyaksikan tunjuk cara pertolongan cemas, CPR dan menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran, ceramah mengenai langkah mencegah jenayah dan mempertahankan diri turut diberikan.

Menurut Pengurus Besar dan Operasi, Domino's Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree, pada masa sama mereka turut menyertai permainan keselamatan interaktif, aktiviti memanjat batu dan mengikuti kursus memandu serta menunggang basikal.

"Kami berharap dapat menerapkan cara berfikir yang sentiasa mengutamakan keselamatan dalam kalangan semua peserta yang menyertai program ini.

"Selain mengenai jalan raya, didedahkan juga aspek keselamatan dalam talian dan usaha mencegah jenayah. Metro Driving Academy, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan jalan Raya (JKJR), bomba dan St John's Ambulance adalah antara agensi yang bekerja keras untuk mengetengahkan keperluan dalam memberi pendidikan keselamatan," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa menjadikan keselamatan kakitangan dan pelanggan sebagai keutamaan. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti menganjurkan rodeo keselamatan, menekankan perlindungan data peribadi dan memberi kesedaran kepada orang awam untuk mewujudkan persekitaran selamat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Metro Driving Academy, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Dr Mohamad Termidzi Junaidi berkata, pihaknya gembira kerana dapat bekerjasama dengan Domino's untuk menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya.

"Jurulatih kami mengadakan tunjuk cara untuk kumpulan pelajar bagi memperlihatkan pelbagai prosedur keselamatan yang betul.

"Di dalam usaha mendidik pengguna jalan raya muda, latihan dan pengalaman seperti ini terbukti lebih berkesan daripada penjelasan secara lisan atau pembacaan mengenai prosedur keselamatan," katanya.

Karnival berkenaan adalah salah satu aktiviti dianjurkan di bawah inisiatif DSSP. DSSP diilhamkan sebagai landasan yang komprehensif untuk menyokong sistem pendidikan Malaysia menerusi kerjasama dengan sekolah rendah dan menengah.

Aktiviti yang dijalankan di bawah DSSP dirancang khusus untuk membantu meningkatkan kemahiran pembelajaran pelajar, memberi motivasi agar cemerlang di dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Selain itu, program berkenaan juga diadakan untuk mendedahkan pelajar kepada peluang kerjaya, membantu golongan memerlukan dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan diri serta orang di sekeliling mereka.

Sejak program itu dimulakan pada 2002, ia berjaya menyumbang lebih RM3.6 juta yang memberi manfaat secara langsung kepada lebih 150 sekolah peserta di seluruh Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai program sila layari http://www.dominos.com.my/corporate/csr.aspx.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM