Sunderland: Chelsea gagal menjaringkan gol buat pertama kali musim ini tetapi pendahulu Liga Perdana Inggeris itu kekal tidak tewas apabila seri tanpa jaringan ketika menentang Sunderland kelmarin.

Selepas diikat Manchester United serta Manchester City, ini kali ketiga Chelsea tidak memungut mata penuh.

Cubaan kedua-dua pasukan hampir menghasilkan gol dengan rembatan pertahanan Sunderland Santiago Vergini terkena palang manakala peluang diperoleh pemain tengah Chelsea Willian singgah di tiang.

Pengurus Sunderland Gus Poyet pantas memuji pemainnya manakala pengendali Chelsea Jose Mourinho tidak menyalahkan taktik diamalkan pasukan tuan rumah.

“Mereka mahu menghalang kami daripada menang,” kata Mourinho. “Bukanlah satu kesalahan apabila sesuatu pasukan itu bertahan. Ia strategi permainan. Pemain saya mencuba dengan pelbagai cara dan mereka sanggup mengambil setiap risiko.”

Keputusan seri itu sangat melegakan Poyet selepas pasukannya melepaskan lapan gol di Southampton bulan lalu.

“Kami berjaya menghalang Chelsea daripada menjaringkan gol. Kami sedar betapa sukarnya untuk berbuat demikian,” kata Poyet. “Saya melihat aksi mereka di Liga Juara-Juara (menentang Schalke). Kami sedar bahawa kami perlu bertahan dengan baik.

“Saya gembira dengan prestasi anak buah saya. Kualiti pertahanan kami semakin baik sejak pertemuan menentang Southampton.”
- AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:06 AM