RIBERY (kiri) dihalang pemain Hertha Berlin, Roy Beerens.
RIBERY (kiri) dihalang pemain Hertha Berlin, Roy Beerens.

Berlin: Bayern Munich mencipta kelebihan 10 mata untuk mendahului Bundesliga selepas kemenangan 1-0 mengatasi Hertha Berlin awal pagi semalam sekali gus mempamerkan kebangkitan susulan kekalahan dialami pertengahan minggu di tangan Manchester City.

Jaringan Arjen Robben pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan ke-10 Bayern dalam 13 perlawanan musim ini.

Selepas kecundang buat kali pertama musim ini di Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu, kekalahan pertama mereka dalam 23 perlawanan, juara bertahan itu mempamerkan aksi biasa untuk memastikan rekod tanpa kalah di Bundesliga.

“Mungkin pemain keletihan selepas beraksi 70 minit dengan 10 pemain di Manchester,” kata pengendali Bayern Pep Guardiola di Berlin, merujuk kepada kad merah Mehdi Benatia pada separuh masa pertama di City.

“Saya gembira dengan persembahan babak pertama namun kami boleh terus meningkat selepas rehat.”

Bayern mendahului di Stadium Olimpik di Berlin apabila Mario Goetze mencipta ruang untuk Thomas Mueller sebelum Robben merembat ke penjuru kiri dari jarak 17 meter ketika saingan baru 27 minit.

“Kemenangan 1-0 boleh berlaku dan kami tidak boleh sentiasa beraksi baik,” kata Robben.

“Babak kedua tidak baik namun sekurang-kurangnya kami meraih tiga mata.”

Ketika saingan musim ini berbaki enam bulan, Bayern berada dalam landasan tepat untuk kejuaraan liga ketiga berturut-turut dan sekali lagi mereka tampak seperti tidak mampu dihalang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:05 AM