PENYERANG Roma, Francesco Totti (kanan) disekat pertahanan Bayern,  Mehdi Benatia.
PENYERANG Roma, Francesco Totti (kanan) disekat pertahanan Bayern, Mehdi Benatia.

Rome: Juara Eropah lima kali Bayern Munich mencerahkan peluang mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara hasil kemenangan bergaya 7-1 ke atas AS Roma di Stadio Olimpico, awal pagi semalam.

Kelab pendahulu Bundesliga kendalian Pep Guardiola itu bertandang ke Rome bagi membuat perhitungan pertama dalam dua perlawanan berturut-turut saingan Kumpulan E dengan mereka bertemu sekali lagi di Munich dalam tempoh dua minggu.

Kemenangan besar juara Jerman itu yang memenangi gelaran Liga Juara-Juara pada 2013, sekali gus mengesahkan potensi mereka sebagai juara musim ini.

Anak buah Rudi Garcia nyata tidak berupaya menandingi Bayern meskipun mereka membenam CSKA Moscow 5-1 di laman sendiri dan seri 1-1 dengan Manchester City.

Malah Bayern juga seakan terpaku apabila mereka dengan mudah mengalahkan skuad gergasi Serie A itu khususnya pada babak pertama apabila pasukan pelawat mendahului 5-0.

"Ini hanya satu keputusan perlawanan, ia tidak menceritakan kekuatan sebenar kedua-dua pasukan," kata Guardiola. "Kami masih perlu bermain menentang Roma dua minggu lagi dan saya jamin keputusan pasti berbeza."

Perancang utama Belanda, Arjen Robben membuka tirai jaringan dengan lambungan bola melepasi kawalan penjaga gol Morgan De Sanctis.

Jaringan seterusnya hasil percubaan Mario Goetze, Robert Lewandowski, gol kedua Robben dan sepakan penalti Thomas Mueller yang menyukarkan anak buah Garcia bangkit.

Aksi buruk 45 minit pertama itu pastinya mengecewakan Garcia selepas bekas pasukannya Lille turut dibelasah 0-5 pada separuh masa pertama menentang Bayern ketika tewas 1-6 pada peringkat kumpulan pada 2012 di Munich yang menyaksikan kelab Jerman itu merangkul kejuaraan.

Roma kekal di tangga kedua kumpulan dengan empat mata, dua mata mengatasi Manchester City yang diikat 2-2 oleh CSKA Moscow dan Garcia menyatakan mereka masih berpeluang untuk layak.

"Individu pertama yang perlu dipersalahkan adalah saya," kata pengendali dari Perancis itu.

"Kami membenarkan mereka menguasai permainan dan selepas dibolosi gol awal, kami melakukan banyak kesilapan ketika mahu menyamakan kedudukan. Sepatutnya kami perlu lebih bersabar."-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:00 AM