BOT tunda TB Henry yang diserang kumpulan bersenjata berhampiran Kepulauan Tawi-Tawi. FOTO ihsan pembaca
BOT tunda TB Henry yang diserang kumpulan bersenjata berhampiran Kepulauan Tawi-Tawi. FOTO ihsan pembaca
Mohd Razlan Salleh


Kota Kinabalu: Empat kru kapal tunda diculik kumpulan bersenjata manakala enam lain termasuk seorang daripadanya cedera dalam kejadian terbaru di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Tawi-Tawi, Filipina, 8 malam tadi.

Dalam kejadian itu, kru bot yang didaftarkan atas nama TB Henry sempat menghubungi pasukan keselamatan Malaysia untuk meminta bantuan sebelum diselamatkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berlaku di perairan antarabangsa antara Filipina dan Indonesia.

"Berdasarkan maklumat awal diterima, bot tunda ini dinaiki 10 kru warga Indonesia.

"Difahamkan, empat daripada mereka diculik sekumpulan lelaki bersenjata manakala enam lain sempat melarikan diri menuju ke perairan Lahad Datu," katanya.

Abdul Rashid berkata, selepas kejadian itu, kru bot tunda sempat menghubungi pasukan keselamatan untuk meminta bantuan.

"Seorang daripada mereka dikatakan turut mengalami kecederaan ketika diserang kumpulan bersenjata itu.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Semporna manakala lima kru yang terselamat diiringi kapal pasukan keselamatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut," katanya.

Difahamkan, bot tunda TB Henry itu dalam perjalanan dari Filipina ke Banjarmasin sebelum dipintas bot dinaiki sekumpulan lelaki bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 1:38 AM