FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Rembau: Dua maut dan dua cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 235.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran plaza tol Pedas-Linggi, malam tadi.

Difahamkan, seorang lelaki yang juga pemandu kereta Proton Wira maut di lokasi kejadian manakala penumpang wanita meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kejadian jam 10.40 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira melanggar bahagian belakang lori tiga tan di laluan kiri sebelum terbabas ke laluan kanan.

"Tiga lagi kereta Perodua Alza, Toyota Vios dan Proton Saga tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa.

"Kejadian itu mengakibatkan pemandu dan penumpang hadapan Proton Wira maut manakala seorang lagi penumpang belakang cedera. Pemandu Perodua Alza turut cedera dan kini mendapatkan rawatan di HTJ," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 11:22 AM