ROSMAN (tengah) mengaku bersalah diatas dua pertuduhan pecah amanah, di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
ROSMAN (tengah) mengaku bersalah diatas dua pertuduhan pecah amanah, di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Indera Mahkota. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

Kuantan: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas bekas penolong pengurus perolehan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM4,500, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan hukuman penjara 12 bulan ke atas Rosman Mohad Basir, 42, yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU), jika gagal membayar denda berkenaan.

Rosman mengaku bersalah menerima suapan RM3,000 dan RM1,500 daripada seorang ahli perniagaan pada 4 April dan 21 Ogos 2018, secara tunai di Bandar Indera Mahkota, di sini, sebagai balasan selepas mendedahkan maklumat perolehan projek di bawah Paip.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya.

Sekitar 2017 hingga 2019, antara bidang tugas tertuduh ialah menyemak senarai kontrak dan memasukkan sebut harga pembekal selain bertanggungjawab menyemak senarai dan maklumat kontraktor.

Pada prosiding itu, peguam Zulkifli Yong merayu supaya anak guamnya tidak dipenjarakan kerana masih menerima rawatan fisioterapi di sebuah hospital selepas mengalami serangan angin ahmar selain memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Sementara itu, pada prosiding berasingan, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman denda RM15,000 ke atas pengarah sebuah syarikat pembungkusan minyak masak, Ibrahim Lamri, 59, selepas dia mengaku bersalah memalsukan invois tuntutan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dua tahun lalu.

Ahmad Zamzani memerintahkan Ibrahim yang beralamat di Semambu, di sini, dipenjara selama lapan bulan jika gagal menjelaskan denda.

Ibrahim didakwa mengemukakan invois palsu dalam tuntuntan bayaran bantuan kewangan kepada kilang penapis/pembungkus minyak sawit tulen kepada KPDNHEP bagi Mac 2019 membabitkan bayaran sebanyak RM3,430.89 di Taman Teknologi Pahang, di sini, pada 5 April 2019.

Bagi kesalahan itu, bapa kepada lima orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 8:04 PM