BERNAMA

Kepala Batas: Lebih 8,500 hektar sawah di Pulau Pinang mengalami masalah bekalan air sehingga menjadi kontang menyebabkan jadual penanaman padi terpaksa ditangguh berikutan cuaca kering yang berlarutan sejak awal tahun.

Masalah itu menyebabkan kira-kira 50,000 pesawah terjejas dan terpaksa menangguhkan penanaman padi yang sepatutnya bermula Mac lalu selepas proses penuaian padi pada Januari.

Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang mula membekalkan air kepada 3,328 hektar sawah atau 40 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman padi bagi membolehkan pesawah membuat persediaan untuk menanam padi.

Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya menjangka keseluruhan kawasan penanaman padi terutama di daerah Seberang Perai Utara (SPU) akan dibekalkan air menjelang Mei ini.

"Sejak minggu lalu, 1,546 hektar kawasan sawah di Seberang Perai Utara (SPU), 1,365 hektar (Seberang Perai Selatan), 305 hektar (Seberang Perai Tengah)

dan 112 hektar di Barat Daya telah mula dibekalkan air oleh JPS dengan mengepam dari sungai berhampiran sawah.

“Kami jangka Mei ini semua kawasan penanaman padi dapat disalurkan air dan pesawah boleh menanam semula kerana mereka menangguhkannya sejak Mac berikutan fenomena El Nino," katanya selepas lawatan ke beberapa kawasan penanaman padi di SPU di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 9:21 PM