Keadaan sawah padi penduduk di Kampung Parit Mat Keling yang ditenggelami air dan menyebabkan benih padi berusia 10 ke 15 hari mati akibat ditenggelami air. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Keadaan sawah padi penduduk di Kampung Parit Mat Keling yang ditenggelami air dan menyebabkan benih padi berusia 10 ke 15 hari mati akibat ditenggelami air. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: "Air dalam dan tak boleh buang, nak tanam padi macam mana?"

Demikian luahan pesawah di Kampung Parit Mat Keling, di sini, apabila terpaksa menunda jadual penanaman padi musim 2/2021 kerana keadaan air yang bertakung dalam petak sawah terlalu dalam dan tidak dapat disalur keluar.

Ketua Unit Peladang, Norpazli Samad, 41, berkata, mereka sepatutnya memulakan penanaman padi pada 22 Oktober lalu namun terpaksa menundanya disebabkan keadaan itu.

Menurutnya, punca berlaku masalah itu disebabkan keadaan cuaca dan parit buang yang tidak diselenggara.

"Tengoklah keadaan parit buang yang semak ni macam mana kami nak buang air. Lebih kurang 20 pesawah yang mengusahakan 50 ekar sawah padi tidak berani mengambil risiko untuk menanam padi disebabkan masalah air yang dalam di petak sawah dan tidak dapat disalur keluar.

"Ada juga pesawah yang sudah mulakan proses penanaman padi mengikut jadual asal tapi lain pula jadinya apabila sawah padi mereka tenggelam dan anak padi yang berusia 10 ke 15 hari musnah," katanya ketika ditemui media di Parit Mat Keling, disini, hari ini.

Menurutnya, perkara itu sebenarnya sudah diajukan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) termasuk mesyuarat khas ketua unit peladang bersama wakil agensi berkaitan pada 26 Oktober lalu namun tiada maklum balas sewajarnya.

"Susulan perbincangan masalah itu pihak JPS ada membekalkan pam bergerak bagi membuang air yang bertakung dalam parit buang dan petak sawah terbabit, namun ia tidak memberi kesan kerana terhalang dengan semak samun di parit itu.

"Pihak kontraktor yang dilantik juga turut berjanji untuk membersihkan parit buang itu namun sehingga kini tiada tindakan dibuat," katanya.

Katanya, pihaknya amat berharap tindakan segera dapat diambil memandang pesawah di kawasan itu sudah terlewat hampir dua minggu dari jadual penanaman padi asal yang ditetapkan Jabatan Pertanian.

Seorang lagi pesawah, Musa Saud, 65, berkata dia dalam dilema kerana enam ekar sawah padinya masih ditenggelami air.

"Ramai diantara kami tidak berani mengambil risiko untuk menabur benih dalam keadaan air dalam kerana takut anak padi tidak tumbuh. Jika tumbuh pun mungkin lemas dan mati akibat air tidak boleh buang. Kami harap JPS dan agensi berkaitan dapat bertindak segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:27 PM