BAKTERIA jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.
BAKTERIA jangkitan leptospirosis atau kencing tikus.
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Kedah mencatatkan kes pertama tahun ini kematian akibat jangkitan leptospirosis atau kencing tikus membabitkan seorang penuntut di Politeknik Kulim berusia 18 tahun, kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, mangsa terbabit dikatakan mengalami gejala demam, sakit kepala dan lenguh badan selepas pulang dari mandi di tempat perkelahan persendirian di Lata Sedim.

"Pada 31 Mac lalu mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kulim jam 5.15 pagi kerana demam dan mengalami muntah serta sakit perut.

"Rawatan kecemasan diberikan di Jabatan Kecemasan dan mangsa terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan segera pakar, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang, kelmarin," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat perdarahan paru-paru disyaki disebabkan komplikasi daripada jangkitan leptospirosis.

"Hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mendapati mangsa berkunjung dan mandi di tempat perkelahan persendirian di Lata Sedim pada pada 8, 10 dan 20 Mac lalu beraa tiga rakan, namun rakan-rakannya tidak mengalami sebarang gejala.

"Pemeriksaan awal menunjukkan gejala dan tanda jangkitan leptospirosis dan pihak hospital sudah menghantar sampel darah ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kuala Lumpur untuk pengesahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 11:59 AM