Aida Adilah Mat


Shah Alam: Mudah buat perenang kebangsaan negara, Welson Sim (gambar) mengungguli acara 100 meter gaya bebas di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan, semalam.

Welson mencatat 50.32 saat untuk menewaskan Keith Lim kedua, 51.87s dan Jie Chan ketiga, 52.26s.

Bagaimanapun catatan itu tidak cukup baginya untuk melepasi syarat kelayakan secara merit bagi Kategori A ke temasya Olimpik Rio Ogos ini.

Namun bagi Welson, tiada sasaran diletakkan dalam acara 100m berikutan lebih memberi tumpuan kepada acara jarak jauh.

“Catatan 50.32s itu sudah melepasi syarat kelayakan Kategori B tapi saya tidak mensasarkan untuk beraksi dalam acara 100m di Olimpik kerana agak susah dan jika berjaya mungkin itu tuah saya.

“Selepas ini saya akan fokus kepada 1,500m dan jika boleh mahu melakarkan sejarah untuk layak ke Olimpik dalam tiga acara secara merit,” katanya.

Untuk melepasi syarat Kategori A acara 1,500m, Welson perlu melepasi catatan 15.35s dengan rekod terbaiknya 15.14s.

Nama Welson mula menjadi sebutan selepas melakar sejarah apabila menjadi atlet pertama negara melayakkan diri secara merit ke Olimpik dalam dua acara - 200 dan 400m.

Dia turut cemerlang ketika beraksi di Sukan Komanwel Belia yang berlangsung di Samoa tahun lalu apabila meraih dua pingat emas.

Sementara itu seorang lagi perenang negara, Daniel Bego perlu berusaha lebih keras untuk menempatkan diri dalam kalangan perenang terbaik negara bagi melayakkan diri ke Olimpik.

Perenang kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan di tempat keenam 100m gaya bebas dalam acara yang dikuasai Welson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 6:34 AM