BERNAMA

Kuala Lumpur: Program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang dilancarkan pada 2014, kelolaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) membuka peluang kepada pelbagai golongan, termasuk mereka yang tidak berkelulusan akademik tetapi mempunyai idea perniagaan kreatif dan inovatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh berkata, program SUPERB bertujuan mencari serta mencungkil bakat usahawan muda melalui pertandingan, antaranya bagi mengetengahkan pelan perniagaan mereka.

“Bidang keusahawanan ini perlu dilihat dari segala sudut dan daripada yang kami pilih setakat ini, lebih kurang 100 pemenang yang diberi geran bernilai RM500,000,” katanya semasa majlis pelancaran buku ‘Aspirasi Unikorn Bumipreneur: Stories from the Frontline’ anjuran Persatuan Usahawan dan Industri Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) Bumiputera Malaysia (NEF), baru-baru ini.

Sebelum ini, SUPERB dilaporkan akan memperuntukkan RM20 juta nilai geran kepada sekurang-kurangnya 40 usahawan permulaan melalui program itu tahun ini. Setakat ini lebih 5,000 peserta bumiputera, usahawan baru menyertai program SUPERB di seluruh negara.

Beliau turut mempelawa usahawan muda menyertai tiga hingga empat sesi program SUPERB Biz-
Pitch tahun ini oleh Teraju yang terbuka kepada usahawan berusia di bawah 40 tahun yang memiliki idea perniagaan kreatif dan inovatif.

Selepas saringan pertama, bakal usahawan akan dipanggil menyertai ‘boot-
camp’ dan diberi latihan beberapa hari, selain semua mereka akan mengetengahkan pelan perniagaan pada peringkat akhir bersama 25 peserta dan akan diadili usahawan terkenal Malaysia.

Bagi kemudahan umum, beliau berkata, kini terdapat platform untuk mengetengahkan pelan perniagaan secara dalam talian di mana mereka boleh merakam video berdurasi dua minit dan dihantar melalui laman web Teraju. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:03 AM