RUANG rumah klasik.
RUANG rumah klasik.
Muhamaad Razis Ismail


KAYU palet sering dijadikan material utama untuk menghasilkan pelbagai perabot dan hiasan dalam rumah.

Warna asli dan permukaannya yang bersih serta licin menjadikan kayu jenis itu sering menjadi pilihan.

Seorang penternak, Razali Hussin, 67, yang tinggal di Kampung Aman, Perlis menggunakan kreativiti membina ruangan tambahan di kediamannya dengan kayu palet.

Biarpun, tidak berpengalaman dalam bidang pertukangan, Razali berjaya membina sebuah ruang dengan suntikan elemen klasik yang menggunakan 90 peratus kayu palet.

Bukan itu sahaja, beliau turut menghasilkan pelbagai perabot menerusi kaedah lakukan sendiri (DIY).

Bapa kepada empat anak ini berkata, dia membina ruang khas untuk seisi keluarga meluangkan masa bersama dengan menjadikan kayu palet sebagai material utama.

Katanya, keluasan ruang khas ini berukuran 1.11 x 1.13 meter persegi adalah binaan baharu tambahan daripada binaan asal rumah itu.

"Didorong minat dan masa terluang, saya membina sebuah ruang tambahan di sebelah kanan rumah menggunakan kayu palet bermula tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

"Hampir keseluruhan rekaan kreatif yang dihasilkan adalah idea peribadi saya dan sebahagian kecil daripada rujukan Internet yang dikongsi oleh anak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PENGGUNAAN cermin supaya ruang nampak luas.
PENGGUNAAN cermin supaya ruang nampak luas.

Menurutnya, idea asal penghasilan ruangan itu adalah sekadar untuk mengisi masa lapang.

"Kebanyakan idea datang secara spontan dan mengikut keperluan dari semasa ke semasa pada ketika ia dihasilkan," katanya.

Mengulas lanjut, kerja pembinaan ruangan khas ini dimulakan dengan pembinaan struktur dinding, lantai, bumbung dan pendawaian elektrik.

"Kerja pembinaan struktur dinding juga ditambah dengan pembinaan struktur akuarium lekap di dinding, tingkap dan pintu yang mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

"Semua kerja ini, saya lakukan sendiri tanpa membabitkan tenaga buruh luar," katanya.

ANTARA perabot yang dihasilkan secara DIY.
ANTARA perabot yang dihasilkan secara DIY.

Katanya, kemudian, dia menjalankan proses memasang palet pada dinding, siling, tingkap dan pintu serta memasang lantai jenis Stone Plastic Composite (SPC) yang mengambil masa selama enam bulan.

"Seterusnya, proses menyiapkan perabot, kabinet, bingkai gambar, rak dan lain-lain termasuk hiasan dalaman mengambil masa setahun.

"Antara perabot yang dihasilkan termasuk kerusi, meja, kabinet televisyen, pembahagi ruang solat, cermin muka, meja solek, meja makan, akuarium, kotak radio, peti simpanan kunci dan kotak pembesar suara," katanya.

Ditanya kenapa kayu palet menjadi pilihan Razali mengakui material itu memenuhi kehendaknya untuk mewujudkan suasana klasik di ruang itu.

"Ia bersesuaian dengan satu bahagian ruangan nostalgia keluarga yang disediakan bingkai gambar besar berukuran 0.83 x 0.27 meter persegi ini dibuat dengan menggunakan kayu palet dan besi.

MAJLIS akad nikah keluarga diadakan di ruangan ini, tahun lalu.
MAJLIS akad nikah keluarga diadakan di ruangan ini, tahun lalu.

"Kayu jenis ini juga membantu menyejukkan suhu dalam ruangan terbabit terutamanya di sebelah malam sekali gus menambah keselesaan kepada ahli keluarga dan tetamu," katanya.

Tambahnya, keseluruhan kos menyediakan ruang klasik dan perabot dianggarkan berjumlah sehingga RM10,000.

"Ia termasuk perkakasan hiasan dalaman dan perkakasan asas rumah serta peralatan pertukangan yang lain.

PINTU gelangsar yang dibakar untuk menampakkan elemen klasik
PINTU gelangsar yang dibakar untuk menampakkan elemen klasik

"Kos pembelian kayu palet tidak kurang daripada RM2,500 dan pemasangan lantai SPC berjumlah RM1,500," katanya.

Jelasnya, dia pernah ditawarkan untuk menghasilkan perabot rekaan khas jenis kayu palet daripada rakan dan saudara namun ditolak dengan baik.

"Apa yang saya buat bukan untuk mencari pendapatan sebaliknya untuk kepuasan diri dan minat peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 7:01 AM