LIAM Craig seronok menggayakan Nesel Pack sambil diperhatikan dua daripada enam pereka beg sandang itu.
LIAM Craig seronok menggayakan Nesel Pack sambil diperhatikan dua daripada enam pereka beg sandang itu.
Susunan Nor Faizah Mohamed


Liam Craig melompat gembira dengan beg sekolah barunya berwarna biru. Apabila ditanya mengenai beg baru itu, Craig menunjukkan isyarat bagus dengan ibu jarinya.

“Ia selesa tetapi perlu lebih lembut pada bahagian talinya. Kalau tukar kepada kain fleece, itu lebih bagus,” katanya yang merujuk kepada Nesel Pack, beg sandang yang dihasilkan sekumpulan penuntut universiti khusus untuk kanak-kanak autisme.

Craig, 9, antara kanak-kanak autisme yang bersekolah di Bailey Elementary, Woodbury, Minnesota, Amerika Syarikat dan menjadi kumpulan sasaran Nesel Pack.

Craig juga antara kanak-kanak yang menguji spektrum autisme dan memerlukan rangsangan deria seperti sentuhan serta pelukan.

Beg sandang Nesel Pack yang dihasilkan oleh penuntut Universiti Minnesota ini berusaha membantu kanak-kanak autisme memperoleh rangsangan pelukan itu.

Beg sandang itu mempunyai tali tebal dan kantung khas yang meniru fungsi jaket mampatan bagi membolehkannya membantu memberi impak sentuhan pada tubuh.

Klip di bahagian depan pula bertindak sebagai bantuan tambahan kepada deria sentuhan dan tekanan.

Menurut organisasi Autism Speaks, pelukan dan benda berat seperti jaket atau selimut berupaya memberi kelegaan serta keselesaan kepada kanak-kanak autisme.

“Perkara utama yang diperlukan Liam ialah rangsangan sentuhan sepanjang hari dan tali beg yang lebih lebar daripada beg sandang biasa itu sememangnya memberi manfaat besar kepadanya.

“Saya juga sukakan idea dan klip tambahan pada bahagian depan beg. Liam akan berlari apabila dia berasa terkejut atau gementar.

“Jadi tambahan tali pemegang pada beg itu dapat membantu saya memegangnya dalam keadaan lebih selamat,” ujar bapa kanak-kanak itu, Josh Craig.

Enam pelajar tahun akhir jurusan pengurusan menjadi tunjang utama kepada penghasilan beg sandang istimewa ini.

Mulanya, Ketua Pegawai Eksekutif Nesel Pack, Martha Pietruszewski, hanya mahukan beg sandang yang berbeza daripada biasa untuk dipersembahkan dalam kelas Entrepreneurship in Action.

Kelas itu membantu pelajar memahami cara memulakan perniagaan. Seiring masa, idea itu berkembang kepada beg untuk kanak-kanak istimewa seperti Craig.

Ketua Pegawai Perhubungan Nesel, Will Radke, kemudian menyertai pasukan itu. Ketika Radke di sekolah rendah, ibu dan bapanya membuka pusat perlindungan untuk anak yatim.

Lebih sedekad kemudianya, rumah terbabit menjaga dan melindungi 30 kanak-kanak kurang bernasib baik.

“Saya langsung tidak terfikir mengenai keperluan kanak-kanak istimewa berbanding anak yatim ketika itu. Sama seperti kanak-kanak yang kurang bernasib baik, kanak-kanak autisme juga mengalami kesukaran berinteraksi dengan persekitarannya selain masalah kemahiran sosial dengan orang lain.

“Justeru, kami mahu hasilkan beg sandang yang berupaya memberi keselesaan kepada mereka. Ia seolah-olah selimut keselamatan untuk kanak-kanak autisme ini,” katanya.

Pasukan ini bekerjasama dengan Fraser, organisasi kebangsaan yang memberi khidmat bantuan kepada pesakit autisme.

“Secara asasnya kami mahu gabungkan aspek bantuan sebanyak yang mungkin pada beg sandang ini, jadi ia dapat memberi spektrum yang lebih luas.

“Bagaimanapun, kami baru hasilkan dua prototaip dan prototaip terkini bakal menjadi versi utama,” jelas Martha.

Kenali autisme

Autisme ialah masalah perkembangan sepanjang hayat yang memberi kesan kepada cara individu berinteraksi dengan persekitarannya selain kemahiran sosial dengan orang lain.

Kebanyakan penghidap austisme masih boleh menjalani kehidupan normal apabila dewasa. Bagaimanapun, sesetengah yang lain berhadapan kesukaran, cabaran dan memerlukan sokongan pakar secara berterusan.

Cabaran utama bagi penghidap autisme merangkumi komunikasi sosial, interaksi sosial, sikap tertumpu pada sesuatu saja serta perlakuan dan minat yang berulang-ulang.

Berikut antara fakta berkaitan autisme yang boleh dijadikan panduan ibu bapa terutama mereka yang memiliki anak kecil.

- Mula disedari sebelum usia tiga tahun.

- Memberi kesan kepada bahagian otak yang memproses interaksi sosial, skil komunikasi dan fungsi kognitif.

- Sukar bertutur sama ada secara lisan atau perbuatan serta menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan diri bermain bersama kanak-kanak sebaya.

- Penghidap autisme turut sensitif kepada masalah kesihatan lain seperti alahan, asma, sawan, masalah penghadaman, jangkitan virus yang kerap, masalah pemakanan juga masalah tidur.

- Empat kali lebih mudah berlaku pada budak lelaki berbanding perempuan.

- Tidak terhad kepada bangsa, etnik, kawasan atau status sosioekonomi.

- Kadar ia berlaku membabitkan seorang daripada 68 kanak-kanak di seluruh dunia.

- Tiada penawar kepada autisme tetapi bimbingan awal dan rawatan berterusan mampu meningkatkan kualiti hidup penghidap autisme.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 9:51 AM