Kebanyakan lelaki maupun wanita tidak tahu cara terbaik menunjukkan rasa cinta terhadap pasangan. Sebenarnya, rasa cinta tidak seharusnya ditunjukkan hanya menerusi kata-kata, mengirim bunga atau kad ucapan romantis.

Ada beberapa tindakan sederhana mampu menunjukkan si dia sangat bererti buat anda. Berikut beberapa perkara yang boleh anda lakukan:

-Memasak makanan kegemarannya

Ambil tahu makanan kesukaan si dia dan luangkan masa menyediakannya. Tidak perlu terlalu mewah misalnya memasak telur dadar untuk sarapan atau sup disertai roti. Ini membuatkan pasangan semakin jatuh cinta dengan anda walaupun hasil masakan anda tidak terlalu sempurna. Menyediakan masakan untuk pasangan juga mampu menjadikan hubungan bertambah erat kerana banyak perkara boleh dibualkan ketika menjamu selera.

-Sentiasa memberikan pujian

Pujian adalah pernyataan tulus mengenai kebaikan seseorang. Tentunya setiap orang senang dipuji. Apatah lagi jika pujian itu datang daripada pasangannya. Pastikan pujian sesuai dengan kata hati anda, jangan sesekali berbohong atau tidak ikhlas memuji. Si dia akan lebih menghargai apa yang dikatakan secara jujur.

-Hargai pasangan anda

Hargai apa saja yang dilakukan pasangan anda. Contohnya dengan mengucapkan terima kasih atas apa yang dilakukan atau mengucapkan kata-kata yang boleh menenangkan hati pasangan anda.

-Beri kejutan

Berilah kejutan yang tidak mudah dilupakan, misalnya dengan membuat majlis ulang tahun kelahirannya yang dihadiri keluarga dan teman terdekat. Anda juga boleh memberi si dia kejutan secara tiba-tiba iaitu menyiapkan makan malam romantis atau menyelitkan hadiah untuk pasangan. Hadiah tidak semestinya diberikan pada hari lahir saja. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Kejutan ini pasti akan dikenang selama-lamanya.

-Jujur pada pasangan

Jika tidak ingin dibohongi pasangan, anda juga harus bersikap jujur terhadapnya. Namun, kebanyakan pasangan tidak mahu berbincang mengenainya. Anda boleh meminta pasangan menulis di kertas mengenai kekurangan anda, begitu juga sebaliknya.

-Ungkapkan perasaan secara langsung

Kebanyakan pasangan tidak gemar meluahkan perasaan mereka sebaliknya memilih media sosial seperti e-mel, SMS, Facebook atau Twitter sebagai perantara. Lebih baik seandainya anda mengucapkan sendiri di hadapannya kerana ini akan membuatkan si dia lebih menghargainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:00 AM