FOTO Muhd Zaaba Zakeria
FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Shamran Sarahan

Kuching: Lebih sembilan ribu unit kediaman Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) membabitkan lapan projek akan dibangunkan di Sarawak melalui Perbadanan PR1MA Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata melalui pelancaran itu juga, kerajaan menetapkan setiap unit rumah terbabit dijual 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Beliau berkata, PR1MA akan terus berkerjasama dengan Kerajaan negeri untuk membangunkan projek rumah mampu milik di Sarawak.

“Penting bagi kita menjalin kerjasama yang erat antara kerajaan pusat dan negeri, terutama dalam menyediakan tanah supaya kita dapat membina rumah PR1MA.

“Kita lancarkan 9,185 unit rumah terlebih dulu dan kita akan tambah lagi projek PR1MA di masa akan datang di seluruh Sarawak," katanya ketika merasmikan Ekspo Rumah PR1MA @ Sarawak di Bangunan DUN Lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pelancaran unit rumah PR1MA itu membabitkanlapan projek, iaitu PR1MA@ Vista Tunku Kuching, PR1MA@Matang, PR1MA@Matang 2, PR1MA@ Semenggoh, PR1MA@ Sibu, PR1MA@ Petrajaya 2, PR1MA@ Sungai Plan dan PR1MA@Bintawa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 4:26 PM