Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Bhd, syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, menyasarkan 2,000 peserta untuk Program Usahawan Takaful Mega bagi tahun kewangan 2014/2015.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar berkata, ini sebagai tambahan kepada 3,500 usahawan Takaful Keluarga sedia ada di Takaful Ikhlas.

Program yang dijalankan di tiga buah negeri bertujuan memberi pendedahan dan latihan kepada usahawan dalam mempromosi produk syarikat di bawah segmen Takaful Keluarga.

“Bagi yang berminat, program seterusnya akan dijalankan pada 29 November di Johor Bahru. Kami juga akan menganjurkan satu siri program di Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 8:05 AM