TIGA wanita Iran menunjukkan kad pengenalan ketika berbaris untuk membuang undi di Qom kelmarin.
TIGA wanita Iran menunjukkan kad pengenalan ketika berbaris untuk membuang undi di Qom kelmarin.

Teheran: Keputusan awal pilihan raya Parlimen Iran semalam menunjukkan tiada parti menang majoriti dengan calon dari kumpulan konservatif, reformis dan bebas berkongsi hampir sama jumlah kerusi.

Keputusan pilihan raya kelmarin itu dilihat sebagai satu pungutan suara terhadap Presiden Hassan Rouhani, selepas sebulan sekatan terhadap Iran ditarik balik susulan perjanjian nuklear dengan kuasa besar dunia.

Rouhani dari parti sederhana berharap pakatannya dengan kumpulan reformis yang digelar Senarai Harapan mampu mengurangkan penguasaan parti konservatif di Parlimen, bagi membaiki peluangnya membuat perubahan sosial dan politik.

Keputusan awal yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi, ISNA yang memetik pegawai pilihan raya menunjukkan tiada kumpulan yang menang majoriti.

Daripada 27 kerusi hanya lapan kerusi dimenangi kumpulan konservatif, empat oleh reformis dan lapan diperoleh calon bebas.

Manakala, tujuh lagi kerusi terpaksa memasuki pusingan kedua pengundian kerana tiada calon yang memperoleh 25 peratus undi.

Calon bebas yang memenangi banyak kerusi menunjukkan sebahagian pengundi Iran mula menjauhkan diri daripada politik yang berpecah di negara itu.

Pilihan raya semalam bagi memilih anggota Parlimen negara dan Majlis Ulama negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:57 AM