JENTOLAK turut membantu membina jalan baru bagi memudahkan operasi memadam api di Gunung Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
JENTOLAK turut membantu membina jalan baru bagi memudahkan operasi memadam api di Gunung Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah membina laluan baru sejauh tiga kilometer di kaki Gunung Pulai, di sini, bagi penghantaran peralatan termasuk bekalan makanan untuk operasi pemadaman api bagi hari keempat, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan, Mohamad Yunus Abu berkata, 70 anggota membabitkan anggota bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Perhutanan dan malim gunung bergerak naik melalui laluan berkenaan untuk memadam api di kawasan seluas 0.5 hektar.

Menurutnya, operasi pemadaman berjalan dengan lancar dan pihak JBPM menggunakan jentolak bagi membina laluan untuk memudahkan pergerakan.

"Dengan pembinaan laluan baru, ia memudahkan untuk membawa peralatan dan bekalan makanan ke puncak gunung berkenaan kerana pasukan penyelamat beroperasi 24 jam.

"Selain itu, helikopter Agusta 109 turut membuat pemantauan lokasi yang terbakar dan pesawat Bombadier CL 415MP dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut membuat lapan siraman untuk memadam api di kawasan utara Gunung Pulai," katanya.

Katanya, angin kencang menyebabkan bara api mudah merebak dan usaha mengawal kebakaran perlu dilakukan secara berhati-hati.

"Kita percaya kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada hari ini tetapi pemantauan masih dilakukan oleh anggota pasukan berkenaan yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan dengan bantuan malim gunung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 3:27 PM