MENEPUK bayi selepas minum susu perkara biasa dilakukan. - FOTO Google
MENEPUK bayi selepas minum susu perkara biasa dilakukan. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


IBU bapa yang kali pertama menimang cahaya mata pasti gusar jika bayi mereka menangis berpanjangan.

Pakar sakit puan, Dr Yow Choon Ming berkata, terdapat anggapan ketidakselesaan perut bayi juga dapat dilihat dari lenturan pinggul bayi atau bahagian tangan si kecil itu.

Ketidakselesaan perut bayi dikenali sebagai 'colic' iaitu berasal daripada bahasa Yunani (Greek) untuk usus besar.

"Ada kajian yang membandingkan kumpulan bayi iaitu bayi yang dikatakan 'colic' dan bayi yang bukan 'colic' ketika kedua-dua kumpulan ini menangis berpanjangan. Hasil kajian itu mendapati tiada perbezaan jumlah gas dalam perut bayi.

"Dalam era kini, isu kembung perut yang mungkin dianggap lama, tetapi pendekatan baharu amat bermakna terutama kepada ibu bapa miliennial.

"Pelbagai persoalan timbul, apakah perlu untuk sendawakan anak selepas menyusukan sama ada susu ibu atau susu formula? Bagaimana pula dengan muntah susu? Adakah kerana tidak sendawakan bayi?" jelasnya.

Pakar itu berkata, terdapat perbezaan antara muntah dan muak susu. Muntah ialah pengeluaran isi perut secara paksaan melalui mulut. Muak susu pula berlaku secara mudah tanpa paksaan dari isi perut ke mulut biasanya bersama sendawa.

"Muak susu biasanya berlaku pada bayi kurang dari satu tahun selepas menyusu. Sesetengah bayi muak susu atau jeluak setiap kali selepas menyusu. Muak susu dipanggil tindakan reflux gastroesophageal. Ia berlaku apabila gegelang otot atas perut tidak tutup dengan rapat. Muak susu akan berkurangan apabila bayi semakin membesar.

"Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan bayi menangis berpanjangan dan salah satu daripadanya kerana kembung perut yang merangkumi faktor angin dalam badan atau gastrousus, hormon, neurodevelopmental dan psikososial," katanya.

Katanya, gastrousus berlaku jika bayi menangis sering mengangkat kaki, kemungkinan bayi mempunyai kolik dan antara punca yang dikenal pasti sama ada alahan susu formula, intoleransi laktosa dan teknik penyusuan yang kurang betul.

Jelasnya, doktor dan pakar pemakanan akan bekerjasama sekiranya alahan kepada susu menyebabkan kolik atau muntah susu dan merumuskan pelan pemakanan hasil daripada pemerhatian simptom yang ditunjukkan bayi.

BAYI muntah selepas minum susu sering berlaku. - FOTO Google
BAYI muntah selepas minum susu sering berlaku. - FOTO Google

"Secara beransur-ansur memperkenalkan semula susu dalam diet si kecil untuk melihat sama ada simptom itu kembali ataupun tidak. Pemakanan ibu ketika menyusukan bayi juga penting kerana kajian menunjukkan bahawa sayur-sayuran seperti kubis dan brokoli yang dimakan ibu ketika menyusukan bayi boleh mengakibatkan pengeluaran gas," katanya.

Dr Yow berkata, terdapat kajian menunjukkan bahawa bayi yang mempunyai tahap serotonin yang tinggi menjadi punca kolik kepada bayi turut mempengaruhi mood dan tingkah laku bayi.

"Ketiga, psikososial iaitu ibu bapa juga turut tertekan kerana masih kurang pengalaman mengendalikan bayi pertama mereka. Pada kebiasaannya, selepas bayi berusia tiga atau empat bulan ke atas.

"Jadi ibu bapa tidak perlu risau, tetapi tangisan bayi seperti dalam kesakitan, demam atau cirit-birit, sembelit dan sebagainya perlu dibawa untuk pemeriksaan pakar.

"Punca yang lain kemungkinan kerana sistem saraf bayi yang belum matang menyebabkan ia lebih sensitif kepada faktor persekitaran. Pelbagai terapi yang boleh membant

u mengurangkan keadaan seperti kembung perut antaranya memberikan 'gripe water', perbaiki ikatan 'bonding' ibu dan bayi supaya lebih tenang dan teknik penyusuan yang betul," katanya.

Jelasnya, ibu bapa yang merawat bayi menderita kolik mungkin diberikan informasi berterusan daripada pelbagai medium termasuk media sosial dan langsung berpendapat bahawa kita masih mempunyai masa.

"Ada juga yang memberikan rawatan menerusi teh herba namun ia disangkal atau tidak diterima doktor kerana tidak terbukti, malah boleh memudaratkan bayi kerana tidak diketahui dos yang bersesuaian untuk diberikan serta implikasi bakal dialami.

"Kajian terkini adalah mengenai tindak balas yang baik terhadap rawatan probiotik kepada bayi kolik, tetapi juga (dalam kes yang teruk) rawatan dysbiosis berjaya memberi kesan baik terhadap hasil perkembangan saraf masa depan," katanya.

Nasihatnya, sekiranya masih terdapat keraguan berkenaan isu yang mungkin timbul, rujuk pakar supaya rawatan tepat dapat diberikan hasil daripada analisis doktor terlatih dan berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:15 AM