ANZALNA dan Hanif bahagia bergelar suami isteri.
ANZALNA dan Hanif bahagia bergelar suami isteri.
Syanty Octavia Amry


Sepuluh tahun berkenalan dan lima tahun menyulam cinta, tiada apa yang lebih menggembirakan pelakon Anzalna Nasir, 28, dan pasangannya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 28, apabila disatukan sebagai suami isteri yang sah.

Bertempat di Pacific Ballroom, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, kira-kira 300 tetamu menjadi saksi pernikahan mereka yang berlangsung dalam suasana meriah.

Dinikahkan bapanya sendiri, Profesor Madya Dr Md Nasir Ibrahim dan bersaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Jawi, Mohd Abd Nasir Abdullah, Anzalna kelihatan menawan dalam persalinan rona putih rekaan Rizalman Ibrahim.

Anzalna atau nama sebenarnya, Anzalna Md Nasir menerima mas kahwin RM1,000 berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Antara barangan yang diterima ialah sebentuk cincin, pen jenama Chopard, jam Rolex, Samsung tablet, coklat, kek, beg tangan dan sirih junjung.

Anzalna ketika ditemui selepas majlis berkata, dia lega apabila apa yang dirancang berjalan lancar.

“Saya gembira dipertemukan jodoh dengan lelaki sebaik Hanif. Sepanjang perkenalan kami, dia antara lelaki yang bersungguh-sungguh memenangi hati saya.

“Saya sukar didekati namun Hanif berjaya membuktikan keikhlasannya untuk menjalin hubungan serius dengan saya,” katanya.

Sempat melakukan solat Tahajud pada awal pagi sebelum majlisnya bermula, Anzalna akui tidak lena tidur memikirkan hari bahagianya yang bakal berlangsung.

Sementara itu, Hanif pula menzahirkan perasaan gembira kerana apa yang dilalui bersama Anzalna selama ini berakhir dengan memori yang indah.

“Syukur, hubungan yang terjalin selama 10 tahun berakhir dengan perkahwinan. Ketika lafaz akad nikah, saya rasa gugup dan seakan-akan mahu pitam. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Selama mengenali Anzalna sehinggalah dia menjadi pelakon, dia tidak pernah berubah. Saya tidak akan menghalang jika dia mahu terus berlakon asalkan tahu batas sebagai isteri,” katanya.

Selain keluarga dan sanak-saudara, turut hadir dalam majlis itu adalah rakan artis antaranya Hisyam Hamid dan isteri serta Fathia Latif.

Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi program bual bicara Nasi Lemak Kopi O di TV9 manakala rakaman majlis boleh disaksikan menerusi program Mahligai Cinta, Nona, Wanita Hari Ini dan Melodi TV3.

Sementara itu, majlis resepsi bertemakan ‘fairy tale’ akan diadakan di Grand Ball­room, Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 27 Februari ini diikuti majlis resepsi besar-besaran di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 3 April depan.

Berkongsi perancangan berbulan madu, Hanif dan Anzalna belum ada kata putus, namun berharap dapat bercuti di pulau.

“Saya memilih pulau kerana suasanya tenang. Namun semuanya masih dalam perancangan dan jika tiada aral mungkin kami akan mengerjakan umrah bersama keluarga pada tahun ini juga,” kata Hanif.

Bagi Anzalna pula, selain pulau, dia bercadang membawa Hanif bercuti di tempat dia membesar iaitu Kanada.

Bercakap soal anak pula, pasangan ini tidak merancang, namun Hanif berharap Anzalna dapat melahirkan ramai anak untuknya.

“Lagi cepat lagi bagus dan saya mahu ramai anak. Tidak kiralah berapa orang asalkan ramai,” kata Hanif lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 1:01 PM