SEORANG tentera memerhatikan mayat seorang lelaki yang ditembak mati di Pattani.
SEORANG tentera memerhatikan mayat seorang lelaki yang ditembak mati di Pattani.

Yala: Seorang askar terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila bom di pinggir jalan meletup di daerah Krong Pinang pagi semalam.

Letupan berlaku jam 7 pagi berhampiran ladang buah-buahan di Sa-ae, kata pegawai penyiasat di balai polis Krong Pinang, Leftenan Kolonel Jaturong Dorn-onpao.

Bom itu diletupkan ketika tujuh askar yang ditugaskan melindungi guru tiba di tempat kejadian.

Dua daripada mereka terkena serpihan letupan itu.

Letupan berkenaan juga menyebabkan kawah kira-kira 1.5 meter dalam dan satu meter lebar terbentuk.

Serpihan, termasuk bateri, bertaburan di kawasan itu, sementara wayar elektrik sepanjang 100 meter ditemui di celah pokok berhampiran.

Polis mendakwa ia dilakukan penyokong kumpulan pemisah yang masih aktif di kawasan itu.

Pegawai yang memeriksa tempat kejadian berkata, bom itu seberat lima kilogram dan diletupkan menggunakan bateri yang disambungkan pada wayar.

Sementara itu, di Pattani, seorang lelaki diserang hendap dan ditembak di kepala ketika menunggang motosikal di daerah Yaring. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:53 AM