OGBONNA jaring gol kemenangan West Ham.
OGBONNA jaring gol kemenangan West Ham.
AFP

London: Angelo Ogbonna menanduk masuk pada masa kecederaan masa tambahan ketika West Ham menundukkan pasukan muda Liverpool 2-1 pada aksi ulangan pusingan keempat Piala FA Inggeris di Upton Park, awal pagi semalam.

Sepakan percuma menakjubkan Philippe Coutinho berjaya memadamkan gol pendahuluan Michail Antonio buat West Ham dan perlawanan itu hanya beberapa saat untuk dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti apabila Dimitri Payet melencongkan sepakan percuma ke dalam kotak penalti pelawat dan Ogbonna melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kemenangan.

Ia gol pertama pertahanan tengah Itali itu sejak tiba dari Juventus tahun lalu dan ia membolehkan anak buah Slaven Bilic bertandang ke Blackburn Rovers pada pusingan kelima.

“Saya tidak boleh menggambarkan perasaan saya,” kata Bilic. “Ia hebat, bagi saya benar-benar satu perlawanan bola sepak yang hebat. Ia satu perlawanan Piala FA yang klasik. Ia akan menjadi sejarah sebagai satu daripada perlawanan terhebat West Ham.

“Jaringan itu menggambarkan permainannya (Ogbonna). Dia amat cemerlang sebagai pertahanan tengah.”

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 7:27 AM