LEE, Jenn imbau keseronokan zaman kanak-kanak setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.
LEE, Jenn imbau keseronokan zaman kanak-kanak setiap kali menyambut Tahun Baru Cina.
Oleh Michelle Gun


Sambutan Tahun Baru Cina bukan sekadar perayaan budaya masyarakat Cina, tetapi juga masa sesuai untuk berkumpul bersama anggota keluarga.

Bagi pelakon baru Sean Lee Jia Ern, 22, perayaan setiap tahun membuat dia mengimbau kembali kenangan manis melawat mendiang nenek sebelah ibunya di Pulau Pinang sewaktu zaman kanak-kanak.

“Dulu, setiap tahun kami sekeluarga akan menaiki kereta pulang ke kampung ibu untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama saudara-mara.

“Paling seronok saya dapat menghayati pemandangan di sepanjang jalan dan bersiar-siar di lokasi menarik di sekitar Pulau Pinang,” katanya.

Merindui saat manis itu, bintang drama Keluarga Pontimau terbabit berhasrat bercuti ke Pulau Pinang untuk melawat semula tempat yang pernah dikunjungi sewaktu kecil.

“Kali terakhir saya melawat negeri itu tahun lalu bersama rakan untuk menikmati makanan. Harap saya dapat kembali semula ke sana tahun ini,” katanya.

Berkongsi aktivitinya pada setiap Tahun Baru Cina, Lee berkata, menziarahi rumah rakan dan saudara-mara paling dinanti-nantikan kerana dapat mengumpul angpau.

“Saya dan rakan akan berkumpul dan kami bersama-sama bergerak ke rumah kenalan. Sebenarnya tujuan utama kami adalah untuk mendapat angpau selain meluangkan masa bersama rakan,” katanya.

Menurutnya, jumlah wang daripada angpau yang dikumpul hampir RM1,000, bergantung kepada bilangan rumah yang diziarahi.

“Jumlah ini tidak banyak berbanding zaman remaja dulu dan pernah mengumpul angpau mencecah RM3,000. Pun begitu, saya beryukur masih menerima angpau pada setiap kali perayaan,” katanya.

Menceritakan perkembangan kerjaya seninya, Lee bakal muncul dalam telefilem khas sempena Tahun Baru Cina berjudul Biah Sport di TV9 pada jam 8.30 malam ini.

“Rezeki semakin bertambah selepas Keluarga Pontimau dan saya menerima banyak tawaran untuk berlakon dalam iklan televisyen,” katanya.

Sebelum menceburi lakonan, Lee aktif berinteraksi dengan pengguna YouTube menerusi akaun SeanLJE membincangkan pelbagai perkara berkaitan kehidupan dan Malaysia.

Jenn bakal sambut hari lahir Rabu ini

Bagi penyanyi Jenn Chia, 25, sambutan Tahun Baru Cina kali ini dijangka berbeza dalam kalangan saudara-mara sejak mengendalikan segmen 8TV Quickie pada Jun tahun lalu.

“Setiap tahun, saudara-mara pasti bertanyakan soalan sama berkaitan perkahwinan dan pekerjaan.

“Tahun ini pula, mereka akan bertanyakan pengalaman sebagai pengacara kerana selalu melihat saya di kaca televisyen,” katanya.

Seperti Lee, Chia turut bersetuju Tahun Baru Cina lebih meriah apabila menerima angpau daripada keluarga, rakan dan saudara-mara, lebih-lebih lagi hari lahirnya ke-25 bakal disambut pada Rabu ini.

“Saya dan adik lelaki selalu banding siapa mendapat angpau paling banyak. Memandangkan perayaan Tahun Baru Cina selalu dekat dengan tarikh hari lahir, saya akan cuba memberitahu saudara mengenainya supaya boleh mendapat lebih banyak angpau,” katanya.

Berkongsi kenangan manis lain, Chia berkata perayaan itu membuatkan dia teringat mendiang datuknya yang meninggal tiga tahun lalu.

“Datuk seorang yang pendiam dan tidak pernah bercerita hal peribadi. Tiba-tiba suatu hari dia meminta saya menjaga ibu dengan baik,” katanya.

Beralih ke kerjayanya pula, Chia berkata, sejak begelar artis, dia lebih berhati-hati dengan kelakuan dan penampilannya ketika di khalayak umum.

“Saya tidak mahu menimbulkan persepsi negatif terhadap orang sekeliling. Sekarang apabila keluar rumah, saya akan memastikan pakaian dan penampilan kemas,” katanya.

Meceritakan pembabitannya dalam dunia hiburan, Chia berkata semuanya bermula dengan berkongsi video nyanyian, komedi, pandangan serta pengalaman dalam industri muzik tempatan menerusi akaun Soimjenn di YouTube.

“Akaun itu ditubuhkan pada 2009 dan memuat naik lagu ciptaan sendiri berjudul I Can’t Find The Light yang mengisahkan mengenai kematian.

“Selepas itu, saya mula menerima tawaran untuk pelbagai projek dan salah satunya adalah membuat ‘prank’.

“Dari situ saya mengenali pengacara 8TV Quickie, Mark O’dea yang kemudian memberitahu mengenai pencarian pengacara untuk program itu,” katanya.

Selain penyanyi solo, Chia turut mempunyai band yang menggelarkan diri sebagai Kiss Kill Mary dan sudah pun mengeluarkan album sulung berbahasa Inggeris berjudul Labyrinth tahun lalu.

“Album itu memuatkan lapan lagu yang mengabungkan beberapa genre dan mengekspresi pendapat kami terhadap pelbagai perkara,” katanya.

Ingin mencuba bidang lakonan, Chia bakal merakamkan single solo terbaru, Apple Pie bulan depan.

“Pada masa sama, satu lagu bahasa Melayu berjudul Tabah yang juga ciptaan sendiri dimuat naik di YouTube dan ingin melihat maklum balas orang ramai pada lagu itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:00 AM