HAZRIL MD NOR yakin peminat konsol dan PC pasti berpuas hati sebaik saja mereka ‘melangkah’ dalam dunia Battlefront yang kaya dengan teknologi dan memaparkan pertarungan skala besar serupa filem asal.

Sebut saja Star Wars, ramai terbayangkan sekumpulan jedi dengan pedang ‘light saber’ dalam dunia fiksyen sains. Kisah pertarungan di angkasa itu seterusnya mencetuskan fenomena di seluruh dunia terutama industri filem.

Populariti Star Wars dalam industri filem kemudian memberi ‘lampu hijau’ untuk pengeluaran figura dan pelbagai edisi komik serta novel.

Bagaimanapun, kejayaan Star Wars tidak terhenti setakat itu. Peminatnya yang gilakan permainan video kini boleh tersenyum apabila Star Wars sekali lagi diadaptasi kepada pelantar konsol lebih moden.

Berjudul Star Wars Battlefront, ia adalah ‘reboot’ dari siri Battlefront asal dan bukan berbentuk sekuel. Berpaksi kepada konsep aksi dan pertarungan, pemain berupaya memilih sudut perspektif perseorangan atau orang ketiga (third-person).

Pertarungan skala besar

Berbeza dengan lambakan judul permainan berasaskan tembakan, Battlefront miliki aura tersendiri. Ia dirasai sebaik saja anda mula akses mod ‘multiplayer’ yang menyediakan pertarungan atas talian dari lapan hingga 40 orang bagi satu perlawanan.

Pertarungan berlaku di beberapa planet berbeza seperti Endor, Hoth, Tatooine, Jakku dan Sullust. Pemain juga diberi akses kepada pelbagai jenis kenderaan antaranya AT-AT dan ‘speederbikes’.

Menariknya, setiap ciri diperkenalkan oleh Battlefront seperti senjata dan karakter mampu diubah sesuai mengikut kehendak pemain. Bukan itu saja, sebaik saja senjata diperoleh ia boleh dikongsi bersama pemain lain.

Kekalkan elemen asal

Dalam Battlefront, pemain memilih untuk bermain bagi pasukan Rebel atau Imperials di mana kedua-duanya mempunyai strategi dirangka sendiri. Enam watak asal dari filem turut diperkenalkan antaranya Darth Vader, Luke Skywalker dan Han Solo.

Lebih menarik, mod dimainkan bersama kecerdasan buatan (AI) atau pemain lain di seluruh dunia. Permainan video ini turut menyediakan misi koperasi dan menyokong fungsi ‘split-screen’ bagi pelantar konsol.

INFO

STAR WARS BATTLEFRONT

Tiga mod utama

* Mod Drop Zone: Ia melambangkan pesona Star Wars yang penuh imaginasi dan teknologi. Anda perlu segera membuat keputusan untuk mengawal pod yang ditawan ataupun mematahkan pergerakan musuh yang ingin mendapatkan pod lebih berkuasa.

Selain itu, setiap pemain membawa senjata berbeza dan ini membolehkan mereka memilih peranan baru dengan segera. Kepelbagaian senjata dan barangan dalam mod ini seterusnya menjadikan medan pertarungan lebih huru-hara.

* Mod Supremacy: Anda perlu berganding bahu dalam perlawanan 20 lawan 20 untuk menawan kubu pihak lawan. Kenderaan canggih memainkan peranan penting bagi mod ini. Anda mengawal AT-ST dan X-wings untuk timbulkan kekecohan di medan pertarungan.

Sebagai askar biasa, anda perlu mencari perlindungan ataupun menyerang balas menggunakan ‘power-up’. Jika bertuah, anda mampu mengawal salah seorang hero penting seperti Luke Skywalker dan Boba Fett dengan kemahiran masing-masing. Kewujudan enam hero ini boleh dikatakan menambah seri permainan.

* Mod Walker-Assault: Mod ketiga ini mencampurkan elemen yang terdapat dalam Drop Zone dan Supremacy. Sekiranya anda di pihak Imperials, anda mengawal robot AT-AT menuju kemenangan. Bagi Rebels pula tugas anda ialah menumpaskan robot gergasi Imperials bila saja berkesempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 9:06 AM