Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Teluk Intan: Seorang pekerja pam air berusia 54 tahun ditemui mati dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam parit sedalam tiga meter di Ladang Sungai Erong Ulu Bernam, Teluk Intan, kira-kira jam 7.15 pagi tadi.

Mayat T Rajendran ditemui pekerja ladang berkenaan selepas operasi dilakukan bomba sejak jam 9 malam semalam terpaksa dihentikan jam 3 pagi tadi berikutan hujan serta paras air yang naik.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (Bomba) Hutan Melintang Tuan Soh Tuan Lah berkata, mangsa dipercayai terjatuh bersama motosikalnya selepas penemuan motosikal milik mangsa di dalam parit berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai penjaga di kawasan pam air berkenaan disedari hilang selepas tidak mengunci pam air pada Jumaat lalu menyebabkan rakan sekerjanya mencari mangsa disekitar kawasan itu sebelum menemui motosikal mangsa.

"Kita sepatutnya memulakan kembali operasi pagi ini selepas berhenti akibat hujan lebat namun mangsa sudah ditemui penduduk di kawasan itu kira-kira 1.5 kilometer dari motosikalnya ditemui.

"Bomba melakukan operasi pencarian semalam termasuk meletakkan jaring di tali air berdekatan bagi mengelakkan mangsa terus dihanyutkan dan turut meminta bantuan daripada beberapa unit lain bagi membantu operasi pencarian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 12:05 PM