Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Empat lelaki berusia 28 hingga 55 tahun diberkas polis kerana menyamar sebagai pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) serta memeras ugut peniaga premis pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen U2, di sini, selepas menerima aduan pemilik premis runcit di kawasan terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu sudah beroperasi lebih enam bulan di sekitar Shah Alam, Gombak, Selayang, Kuala Selangor serta Klang.

"Ketika serbuan, polis turut merampas pas KPDNKK dipercayai palsu, buku kompaun serta dua 'walkie talkie'.

"Sindiket terbabit mensasarkan kedai runcit bersaiz sederhana dan memeras ugut peniaga bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan yang kononnya daripada KPDNKK," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut dan menyamar sebagai penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 4:29 PM
SHAFIEN menunjukkan pas KPDNKK dipercayai palsu digunakan sindiket untuk memeras ugut peniaga di sekitar Selangor. FOTO Siraj Mohd Zaini
SHAFIEN menunjukkan pas KPDNKK dipercayai palsu digunakan sindiket untuk memeras ugut peniaga di sekitar Selangor. FOTO Siraj Mohd Zaini