Oleh Bashah Zainol Abidin


Alor Setar: “Saya berterima kasih kepada KFA (Persatuan Bolasepak Kedah) yang menawarkan kontrak baru kepada saya. Tapi apa yang ditawarkan itu tidak berbaloi dengan sumbangan saya berikan kepada mereka musim lalu,” kata bekas penolong jurulatih Helang Merah Ramon Marcote (gambar).

Marcote yang menghargai keyakinan KFA menggunakan khidmatnya sebagai penolong jurulatih musim lalu turut berterima kasih kepada semua peminat kerana memberi sokongan sepanjang beliau bersama Kedah.

“Saya sudah menerima tawaran lanjutan kontrak KFA pada 23 Disember lalu. Saya juga sudah memberitahu mereka terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana tidak berbaloi dengan apa yang disumbangkan.

“Hakikatnya, saya sudah berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir Piala Malaysia ketika ketiadaan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang berada di China untuk mengikuti kursus kejurulatihan lesen PRO.

“Kedah beraksi cemerlang musim lalu dan saya yakin mereka mampu meraih kejayaan musim ini tambahan pula dengan kemasukan beberapa muka baru. Kedah tetap di hati dan walaupun tidak bersama musim ini, saya akan sentiasa mengikuti perkembangan mereka menerusi media sosial,” kata Marcote.

Katanya, secara peribadi beliau meraih banyak pengalaman baru sepanjang bersama Kedah dan yakin apa yang diterimanya itu pasti mampu meningkatkan pengetahuannya mengenai bola sepak.

Marcote yang bersama Kedah sejak April tahun lalu, membantu Cheng Hoe serta pemain menerusi pengalaman dan pengetahuannya sepanjang mengendalikan Atletico Madrid sebelum ini.

“Selama hampir setahun bersama Kedah, saya cukup gembira malah keluarga yang bercuti di sini turut seronok. Saya dan keluarga mendapat layanan baik daripada pemain, pihak pengurusan dan peminat setia pasukan.

“Tapi saya terpaksa menolak tawaran KFA kerana tidak berbaloi. Tidak ada alasan lain dan saya sudah memberitahu mereka selepas tiga hari menerima tawaran itu.

“Saya meminta semua pemain dan juga pihak pengurusan terus memberi sokongan kepada Cheng Hoe kerana beliau mampu memastikan Kedah meraih banyak kejayaan pada musim 2016 ini.

“Tapi jika ada tawaran daripada pasukan lain di Malaysia atau di Asia, saya pasti akan menimbangkannya,” kata Marcote.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:22 AM