Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Menopaus atau putus haid akan dilalui setiap wanita apabila sampai waktunya. Ada yang mengalaminya seawal usia 40-an tetapi tidak kurang juga yang menempuhinya ketika berusia 50-an.

Sesetengah wanita berpendapat, menopaus adalah penamat kepada kehidupan kerana berasakan diri tidak lagi sempurna selain rasa rendah diri serta kurang keyakinan.

Berbeza dengan Rosnah Abdul Aziz, 62, yang mengalami gejala menopaus ketika berusia 50 tahun. Ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini berkongsi pengalaman ketika ditemui pada sambutan Hari Menopaus Sedunia di Petaling Jaya, ­Selangor, anjuran Persatuan Menopaus Malaysia (MMS), baru-baru ini.

Bagi Rosnah, menopaus bukan pengakhiran hayat­nya, malah meskipun melalui­nya lebih 10 tahun lalu, dia tetap berfikiran positif dan tiada apa yang berubah dalam kehidupan sehariannya.

"Saya aktif dengan MMS ­sejak 17 tahun lalu iaitu sejak ia mula ditubuhkan. Memang setiap kali persatuan ini ada perjumpaan, saya tidak pernah ketinggalan menghadirinya.

"Menerusi persatuan ini, saya dapat tahu mengenai kewujudan ubat baru di pasaran selain berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar cerita bersama rakan yang mengalami simptom sama.

"Saya tidak kesah berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur semata-mata menghadiri ceramah yang dianjurkan. Selain bermanfaat untuk diri sendiri, saya boleh ­menyampaikan sedikit ilmu kepada wanita di luar sana," katanya.

Berkongsi pengalaman, Rosnah berkata, dia tidak mempunyai simptom khusus ketika mula-mula menopaus. Pada peringkat awal, dia hanya me­ngalami kedatangan haid yang tidak menentu.

Rosnah kemudian membuat ujian darah untuk menentukan paras hormon tertentu serta estrogen. Apabila keputusan dikeluarkan, doktor mendapati hormon FSH dan LH mening­kat tinggi daripada paras normal manakala hormon estrogen berkurangan, menandakan dia sememangnya mencapai menopaus.

"Sesetengah wanita mempunyai simptom berbeza. Ada yang berpeluh, perubahan emosi, lebih sensitif dan cepat marah, namun saya tidak mengalami simptom seperti itu.

"Mungkin kerana saya tidak terlalu memikirkan keadaan itu menyebabkan kehidupan yang saya lalui masih seperti biasa. Saya masih mengekalkan kehidupan aktif seperti biasa selain berfikiran positif setiap masa," katanya.

Jelas Rosnah, sebagai wanita Islam, dia terima qada' dan qadar yang ditentukan terhadapnya. Melewati usia 'emas', dia lebih senang mendekatkan diri kepada Maha Pencipta dengan lebih mudah tanpa ada 'cuti' lagi.

"Alhamdulillah, saya melalui fasa hidup dengan ­lebih tenang. Menopaus ­tidak membataskan kita untuk menjalani gaya hidup aktif. Paling penting pada usia ­begini, jaga kesihatan dan 'pantang' makan," katanya.

Sementara itu, pakar sakit puan, Dr Kim Wong dari Dr Kim Wong Women Specialist Clinic Sdn Bhd, berkata menopaus bukan penyakit, ­sebaliknya ia perubahan biologi semula jadi yang akan berlaku kepada setiap wanita.

"Definisi menopaus dari segi perubatan adalah pemberhentian haid selama 12 bulan. Menopaus berlaku apabila ovari tidak lagi menghasilkan hormon estrogen dan progesteron.

"Perlu wujud kesedaran dan pemahaman terhadap menopaus dialami wanita seawal usia 40-an hingga 50-an supaya boleh merujuk kepada doktor atau pakar sakit puan," katanya.

Beliau menegaskan, ­menopaus bukan pengakhiran kehidupan seseorang wanita seperti yang selalu difikirkan, malah pengetahuan mengenainya juga masih pada tahap rendah.

"Sangat menyedihkan apabila ramai berfikiran, apabila menopaus, seseorang wanita tiada 'hak' untuk gembira sedangkan ada rawatan bagi menangani kesukaran sepanjang menopaus.

"Sebab itu, satu sebab kita adakan ceramah ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ­mengenai menopaus yang masih kurang difahami," katanya.

Laporan dikeluarkan Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Menopaus Kesihatan Reproduktif Wanita mendapati ada kira-kira 37.5 juta wanita menopaus di seluruh dunia.

Kim berkata, bagi mening­katkan kualiti hidup ketika perubahan biologikal itu, penting bagi wanita untuk memahami proses menopaus dan simptom berkaitan kaedah perubatan.

"Berdasarkan statistik daripada Haines et al Maturitas 2005, kebanyakan wanita di 11 negara Asia mengalami masalah sakit sendi (85 peratus), lupa (80 peratus), cepat marah (70 peratus), insomnia (69 peratus), keletihan, (67 peratus), panas (65 peratus), perubahan tekstur kulit (62 peratus), berpeluh pada waktu malam (53 peratus) dan kekeringan vagina (56 peratus) yang jarang dibincangkan dengan doktor masing-masing.

"Secara keseluruhan, usia menopaus ialah 51 tahun ­tetapi boleh berubah ­daripada 45 hingga 55 tahun. Lelaki juga mungkin mempunyai keadaan sama iaitu ­kekurangan testosteron tetapi ia berlaku secara perlahan-lahan.

"Menopaus juga boleh berlaku lebih awal dalam sesetengah keadaan, terutama wanita yang membuat pembedahan membuang kedua-dua ovari sebelum berusia 45 tahun, merokok, alkohol, diet yang keterlaluan, rawatan kanser dengan kemoterapi atau radioterapi pelvis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:00 AM