SCHA pada mulanya kekok lakon babak romantik.
SCHA pada mulanya kekok lakon babak romantik.
HISYAM bimbang berlakon dengan isteri orang.
HISYAM bimbang berlakon dengan isteri orang.
ANTARA babak tegang dalam drama ini.
ANTARA babak tegang dalam drama ini.
SCHA dan Lia Natalia.
SCHA dan Lia Natalia.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Selepas drama bersiri Isteri Separuh Masa dan M.A.I.D mendapat sambutan, kini pengarahnya, Michael Ang kembali dengan naskhah baru berjudul Isteri Vs Tunang.

Drama 16 episod yang menggandingkan tiga pelakon popular, Hisyam Hamid, Scha Alyahya dan Sharifah Sakinah ini bakal menemui penonton pada 1 Februari depan di saluran Astro Ria.

Bagi Michael, drama ini sesuatu yang istimewa kerana buat pertama kali dia bekerjasama dengan Hisyam selain menyaksikan kemunculan semula Scha selepas berehat hampir tiga tahun.

“Ini adalah drama pertama membabitkan ketiga-tiga pelakon utama. Malah, buat pertama kalinya juga Hisyam melakonkan watak romantik komedi yang jauh berbeza daripada watak sebelumnya.

“Mula-mula bimbang juga memikirkan gandingan Hisyam dan Scha kerana mereka memiliki karakter berbeza. Namun, selepas dipertemukan di lokasi ternyata mereka ada keserasian yang luar biasa. Apa saya bayangkan mengenai watak mereka memang menjadi,” katanya.

Menurut Michael, pemilihan Hisyam dirasakan berbaloi walaupun sebelum ini watak itu ditawarkan kepada pelakon lain.

Michael juga berkeyakinan tinggi drama ini akan mendapat sambutan sebagaimana karyanya sebelum ini.

“Saya yakin penonton akan jatuh cinta dengan watak lakonan Hisyam dan Scha. Keserasian mereka di kaca TV pasti berjaya menarik perhatian seperti gandingan pelakon lain.

“Pada masa sama, penampilan beberapa pelakon pembantu seperti Lia Natalia, Liza Abdullah, Datuk Seri Shah Rezza, Sharifah Shahora dan ramai lagi sedikit sebanyak mewarnai jalan cerita drama ini,” katanya.

Tambah Michael, pemilihan lagu Pencuri Hati dendangan Ayda Jebat sebagai lagu tema juga satu lagi daya tarikan dalam drama ini.

Dari sudut lain, Michael bangga apabila ketiga-tiga pelakon utamanya begitu profesional di lokasi biarpun mereka berstatus suami dan isteri.

“Status dimiliki itu membuatkan mereka lebih memahami tugas masing-masing. Saya percaya mustahil se­sama mereka akan jatuh hati berbanding pelakon berstatus solo.

“Disebabkan status itu juga, saya banyak mengurangkan adegan romantik. Kali ini saya lebih peka dan belajar daripada kesilapan drama M.A.I.D dulu. Bukan apa, saya tidak mahu mengaibkan sesiapa,” katanya.

Drama Isteri Vs Tunang ini mengisahkan bagaimana Zaim Azfar (Hisyam Hamid) berdepan konflik apabila tunangnya Amira Irdina (Sharifah Sakinah) curang di belakangnya.

Tanpa disangka, insiden di tempat letak kereta yang berlaku antara Zaim dan Alana Sofea (Scha Alyahya) merubah segalanya apabila Zaim membangkitkan kemarahan gadis itu. Alana tanpa berfikir panjang mencabar Zaim untuk mengahwininya. Demi ego seorang lelaki, Zaim menyahut cabaran Alana.

Alana bagaimanapun menyedari tindakannya itu bodoh dan meminta Zaim membatalkan rancangan berkenaan. Namun, Zaim terlebih dahulu menghantar kedua-dua ibu bapanya masuk meminang.

Pada waktu sama, Alana meminta bantuan Irfan Fakrul (Azrel Ismail) menyamar sebagai kekasih kemudian berjumpa ibu bapanya bagi membatalkan rancangan Zaim itu.

Bagaimanapun, bapa Alana membantah dan terpaksa akur dengan keputusan yang sudah dibuat iaitu berkahwin dengan Zaim.

Status bukan halangan

Bagi Hisyam Hamid, 31, status dimiliki bukan halangan untuknya beraksi dalam watak romantik dengan Scha Alyahya.

“Sebagai pelakon kami perlu profesioanal, tetapi tidak bermakna kami bebas melakonkan apa saja adegan. Setiap kali membabitkan babak romantik, kami akan berbincang terlebih dulu.

“Saya risau berlakon dengan pelakon yang sudah mempunyai pasangan. Saya bimbang persepsi pasangan mereka terhadap saya,” katanya.

Menurut pelakon kelahiran Singapura ini, terdapat beberapa babak dalam drama ini diubah daripada skrip asal terutama membabitkan adegan romantik.

Berkongsi mengenai watak Zaim Azfar, kata Hisyam ia berbeza 100 peratus dengan watak Megat Rayyan dalam drama Memori Cinta Suraya.

“Dalam drama itu, saya melakonkan watak berat dan perlu bermain dengan emosi. Kali ini watak diberikan sangat santai dan bersahaja.

“Michael mencabar saya untuk melakonkan watak ini kerana selama ini saya sering melakonkan watak serius. Alhamdulillah, sepanjang proses penggambaran semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sependapat dengan Hisyam, Scha Alyahya, 33, mengakui status berkahwin itu memudahkan lagi proses penggambaran.

“Kami tahu tanggungjawab masing-masing, jadi segalanya lebih mudah. Setiap kali datang ke lokasi, kami fikir soal kerja.

“Mulanya ada juga timbul rasa takut, sebab risau penerimaan penonton dan orang sekeliling. Bukan apa, bergelar isteri ini perlu menjaga hati banyak pihak,” katanya.

Scha tidak menafikan pada mulanya dia berasa kekok melakonkan babak romantik bersama Hisyam.

“Michael banyak tegur dari segi lakonan membabitkan adegan romantik. Kami kelihatan kaku di skrin. Lama-kelamaan, kami perbaiki kelemahan itu sehingga akhirnya memberi kepuasan.

“Saya menerima tawaran ini disebabkan jalan ceritanya berbeza daripada kebanyakan drama lain. Malah, watak Alana Sofea juga bukan seperti watak saya sebelumnya seperti dalam drama Awan Dania dan Prebet Jamilah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:25 AM