LAGU Reaper pernah ditolak Rihanna bakal dilancarkan 29 Januari ini.
LAGU Reaper pernah ditolak Rihanna bakal dilancarkan 29 Januari ini.
Susunan Michelle Gun


Siapa tidak mengenali nama Sia Fur­ler, 40, yang mencipta nama di seluruh dunia menerusi lagu hit Titanium dan Chandelier.

Penyanyi dan pencipta lagu itu bakal muncul de­ngan single baru berjudul Reaper yang akan dilancarkan pada 29 Januari ini.

Difahamkan lagu ciptaan bersama Kanye West itu pada asalnya untuk album kelapan Rihanna, Anti namun ditolak penyanyi berkenaan.

Kemudian, Sia mengambil keputusan menjadikan lagu itu sebagai single kelima dalam album barunya berjudul This Is Acting.

Menariknya, album itu memuatkan lagu ciptaan Sia yang pernah ditolak beberapa artis antaranya penyanyi popular Adele.

Single Alive yang dikeluarkan Sia baru-baru ini pernah ditawarkan kepada Adele manakala lagu Bird Set Free sebenarnya diciptakan untuk filem Pitch Perfect 2.

Dalam perkembangan lain, Sia mendedahkan Rihanna masih mencari lagu untuk dimuatkan dalam album Anti.

Menurut komposer kelahiran Australia itu, Rihanna sudah mendengar 25 lagu ciptaannya dan mengambil empat lagu.

“Rihanna datang menemui saya kerana mencari bahan untuk albumnya. Dia mengambil empat lagu, namun kurang pasti ia dimuatkan dalam album itu,” katanya.

Lagu hit Rihanna, Diamonds yang dikeluarkan pada 2012 juga ciptaan Sia.

Turut terkenal dengan imej rambut palsu menutup wajahnya, Sia bakal mengadakan persembahan di Festival Flow di Finland dan Festival Way Out West di Sweden.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:55 AM