AFP

Brisbane, Australia: Bintang Switzerland Roger Federer layak ke final Kejohanan Antarabangsa Brisbane buat kali ketiga berturut-turut selepas mengalahkan Dominic Thiem pada separuh akhir, semalam.

Federer hanya mengambil masa 60 minit untuk mengatasi lawan dari Austria yang juga pilihan kelapan kejohanan dengan 6-1, 6-4 dan dia menyifatkan perlawanan itu sebagai aksi terbaiknya sepanjang minggu ini.

“Saya semakin biasa dengan suasana di sini yang biasanya hanya mengambil masa sehari atau dua,” katanya.

“Jika anda sudah faham gelanggang ia akan membuatkan anda selesa. Saya merasa selesa sekarang.

“Saya gembira dengan aksi saya. Saya rasa aksi itu yang terbaik sepanjang minggu ini atau mungkin paling konsisten.”

Set pertama tamat dalam tempoh 22 minit dan Thiem dilihat bergelut menyaingi juara Grand Slam 17 kali itu di Arena Pat Rafter.

Thiem, 22, cuba bertenang pada set kedua untuk memberi tentangan kepada pemain berusia 34 tahun itu tetapi tetap gagal berbuat demikian dengan Federer mudah melangkah ke final.

Federer tewas di tangan Lleyton Hewitt pada final 2014 dan menewaskan pemain Kanada Milos Raonic untuk muncul juara tahun lalu.

Final hari ini boleh dianggap ulangan musim lalu apabila Federer bakal bertemu Raonic yang menewaskan Bernard Tomic dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Saya pernah mengharungi beberapa perlawanan sukar menentangnya. Saya tidak tahu dengan tepat, mungkin sejak 16 bulan lalu,” kata Federer mengenai pertemuannya dengan Raonic.

“Saya rasa dia bermain baik ketika kami bertemu di sini tahun lalu dan di Indian Wells.

“Dia kelihatan mantap. Dia memiliki servis kencang, sukar bagi lawan untuk menyekatnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:04 AM