ANTARA terusan yang menjadi tumpuan pelancong untuk menaiki gondola.
ANTARA terusan yang menjadi tumpuan pelancong untuk menaiki gondola.
DEMONSTRASI cara-cara menghasilkan pasu kaca hiasan.
DEMONSTRASI cara-cara menghasilkan pasu kaca hiasan.
DATARAN popular di tengah bandar Venice.
DATARAN popular di tengah bandar Venice.
ROMBONGAN yang berkunjung ke Venice bersama pelakon dan penyanyi Izzue Islam.
ROMBONGAN yang berkunjung ke Venice bersama pelakon dan penyanyi Izzue Islam.
PENULIS berpeluang merasai pengalaman menaiki gondola yang menjadi tarikan utama di Venice.
PENULIS berpeluang merasai pengalaman menaiki gondola yang menjadi tarikan utama di Venice.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Panorama menakjubkan kota romantis, Venice masih jelas di tubir mata. Meskipun sudah sebulan pengalaman indah itu berlalu, terasa seperti baru semalam menjejakkan kaki ke bandar terapung yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia itu.

Saat diundang menyertai rombongan percutian, perkara pertama terlintas di fikiran adalah Venice dan gondola. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa terujanya apabila impian berkunjung ke bandar hebat itu jadi kenyataan.

Kembara bermula di Rom diikuti Vatican City, Pisa, Florence, Milan dan kemuncaknya, Venice itu meninggalkan 1,001 kenangan manis.

Bersama 34 ahli rombongan, penulis menaiki bot persendirian ke Venice dan perjalanan mengambil masa selama 20 minit. Pemandangan yang tersaji depan mata sungguh mengagumkan, malah terbukti apa yang diperkatakan orang ramai mengenai Venice yang disifatkan bandar paling cantik di dunia ini benar belaka. Dari kejauhan sudah dapat dirasai ‘mood’ romantis dan tenang.

Venice terdiri daripada 118 pulau kecil yang dipisahkan kira-kira 150 terusan. Penduduk setempat menyeberangi terusan itu melalui jambatan kecil yang dibina.

Lokasi pertama yang dikunjungi adalah Piazza San Marco yang menjadi simbol Venice. Di dataran yang terletak di tengah bandar ini, terdapat menara tinggi yang di puncaknya boleh melihat keseluruh pemandangan kota itu.

Berdekatan dataran ini, terdapat Doge’s Palace, aneka pilihan kedai cenderamata dan himpunan butik jenama terkenal antaranya Ferrari, longchamp, Massimo Duti, Zara dan banyak lagi.

Rombongan juga berpeluang menyaksikan demonstrasi penghasilan pasu kaca yang popular di bandar itu selain ke St Mark’s Basilica, Teatro La Fenice, Murano dan Grand Canal.

Rialto Bridge juga tarikan utama di Venice di mana ia jambatan tertua yang dibina iaitu pada abad ke-16. Jambatan ini sentiasa dipenuhi pelancong yang mahu menikmati suasana romantis sambil menyaksikan puluhan bot dan gondola bergerak membawa penumpang.

Jika gemar ke muzium, bolehlah berkunjung ke Correr Museum yang dibina pada 1806 hingga 1814. Rekaannya klasik malah hiasan dalamannya mendapat sentuhan pelukis terkenal Venice iaitu Giuseppe Borsato.

Detik paling tidak dapat dilupakan adalah pengalaman menaiki gondola menyusuri terusan yang di kiri kanannya ada kediaman, hotel, butik dan restoran. Tidak lengkap kunjungan sekiranya tidak menaiki gondola yang menjadi tarikan utama Venice. Boleh memuatkan maksimum enam penumpang, bayaran yang dikenakan bergantung pada laluan yang ingin diambil.

Jika gondola itu melalui Grand Canal, bayarannya mencecah RM480 hingga RM600 dan seandainya sekadar terusan kecil (tanpa melalui Grand Canal) cuma sekitar RM400.

Meskipun harganya mahal, ramai tidak melepaskan peluang merasai pengalaman menaiki kenderaan popular di Venice itu.

Selain gondola, pengangkutan utama di bandar itu adalah bot dan teksi air swasta. Bot di sini bertindak seperti bas dan akan berhenti di setiap stesen yang sudah ditetapkan. Jika tidak menggunakan bot, orang ramai boleh berjalan menyusuri jambatan di setiap terusan.

Dek keunikannya, Venice menjadi tumpuan ramai selebriti terkenal dunia, malah banyak filem menjalani penggambaran di sini termasuklah Summertime lakonan Katharine Hepburn, The Tourist, francais James Bond: From Russia with Love, Moonraker and Casino Royale, Indiana Jones and the Last Crusade, A Little Romance dan Lara Croft: Tomb Raider.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:01 AM