SHAIKH Abdul Adzis (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Rasul Azli Samad
SHAIKH Abdul Adzis (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Rasul Azli Samad
Oleh Nur Saliawati Salberi


Melaka: Polis rampas dadah dipercayai heroin dan syabu seberat 564 gram dianggarkan bernilai RM14,000 dalam serbuan di pangsapuri di Semabok, 8.40 pagi semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis turut menahan empat suspek dipercayai terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dalam serbuan itu.

"Suspek ditahan berusia antara 38 hingga 46 tahun, termasuk seorang wanita.

"Kami turut merampas tiga kenderaan yang dipercayai digunakan suspek selain hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Januari depan.

FOTO Muhammad Rasul Azli

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:28 PM