Berlin: Pep Guardiola (gambar) mengakui godaan menjadi jurulatih dalam Liga Perdana Inggeris menjadi alasan kenapa beliau meninggalkan kelab gergasi Bundesliga Bayern Munich hujung musim ini.

“Saya mahu melatih di England,” kata pengendali Sepanyol itu pada sidang akhbar, yang pertama sejak mengumumkan pemergiannya pada 20 Disember lalu dan digantikan oleh Carlo Ancelotti dari Itali.

“Saya masih muda dan perlukan cabaran baru,” ujar Guardiola, yang berusia 45 tahun hujung bulan ini.

Bekas jurulatih Barcelona sejak itu dikaitkan dengan Chelsea selepas Jose Mourinho dipecat dan juga Manchester City dengan pengurus Manuel Pellegrini mempunyai kontrak hingga 2017.

“Saya mungkin akan ke England. Ia masa yang tepat,” tegas Guardiola.

“Inilah alasan tunggal saya tidak membaharui kontrak kerana saya mahu mencari cabaran baru.

“Saya menerima beberapa tawaran dari England tapi saya tidak memutuskan apa-apa lagi.

“Jika saya berusia 60 atau 65 tahun saya mungkin kekal, tapi saya fikir saya terlalu muda. Saya perlukan cabaran baru.

“Ia satu mimpi, ia memang satu mimpi. Saya amat berbangga kerana peluang besar yang diberikan Bayern.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 7:06 AM