AKTIVIS pelajar, Nachacha Kongudom, 21, memberikan aksi tabik tiga jari di luar pawagam di Bangkok, semalam. Dia kemudian ditahan polis.
AKTIVIS pelajar, Nachacha Kongudom, 21, memberikan aksi tabik tiga jari di luar pawagam di Bangkok, semalam. Dia kemudian ditahan polis.
Agensi

Bangkok: Junta tentera mengarahkan tayangan pembukaan filem Hunger Games: Mockingjay Part 1 dibatalkan semalam gara-gara aksi tabik tiga jari yang kini menjadi simbol penentangan terhadap pemerintah.

Menurut kenyataan Liga Liberal Thammasat Untuk Demokrasi, dua aktivis ditahan, termasuk dua pelajar di luar pawagam yang sepatutnya menayangkan filem berkenaan.

Pertubuhan itu berkata, dua aktivis pelajar ditangkap polis kerana memberi kenyataan kepada media.

Aktivis ketiga ditangkap di luar kompleks pawagam Siam Paragon selepas membuat aksi tabik tiga jari.

Sumber berkata, seorang daripada pelajar terbabit adalah penuntut Universiti Thammasat manakala rakannya dikenali sebagai Champ dan pernah ditahan pada 22 Jun lalu.

“Champ ditahan ketika itu kerana memperingati sebulan rampasan kuasa tentera dengan memakan sandwic dan membaca novel fiksyen politik karangan George Orwell, 1984,” katanya.

Terdahulu, Liga Liberal Thammasat Untuk Demokrasi mempelawa orang ramai menyaksikan filem berkenaan dengan menyediakan 200 tiket percuma.

Jemputan itu dibuat melalui akaun rasmi pertubuhan berkenaan di Facebook.

Mereka sepatutnya menyaksikan tayangan pembukaan Hunger Games: Mockingjay Part 1 pada jam 12.40 tengah hari.

Pengurusan pawagam kemudian membatalkan tayangan berkenaan.

Menurut pertubuhan itu, walaupun tayangan filem terbabit dibatalkan, aktivis tetap datang ke pawagam.

Sebagai ganti, pihak pengurusan panggung wayang menayangkan filem arahan Woody Allen, Magic in the Moonlight.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:03 AM