Baru-baru ini Cik Pang terdengar cerita, bukan main bengang lagi penyanyi baru, Aiman Ismail apabila mendapat tahu bekas pengurusnya ‘mencaras’ tugasan sebagai juri salah satu pertandingan nyanyian yang sepatutnya dilakukan olehnya.

Kebetulan Cik Pang bertemu dengan rakan baik Aiman dan katanya, penyanyi yang kini tampil dengan single terbaru Cintamu Palsu itu telah melepaskan geram membabitkan tindakan bekas pengurusnya.

Kata rakan baik Aiman itu lagi, pada mulanya pihak hotel dikatakan menghubungi syarikat rakaman untuk menawarkan Aiman menjadi juri pertandingan.

Sudah menjadi prosedur, syarikat rakaman menghantar bekas pengurus terbabit yang pada ketika itu masih bertugas dengan syarikat rakaman Aiman bernaung, Pencil Pictures & Records untuk berbincang lebih lanjut dengan penganjur tanpa terfikir akan berlaku sebarang perubahan.

Aiman dan syarikat rakamannya, Pencil Pictures & Records percaya seratus peratus yang perkara itu akan diuruskan dengan baik, kerana sebagai kakitangan pasti dia akan melaksanakan tugas dengan jujur.

Malangnya pada hari acara berlangsung, lain pula yang terjadi. Rupa-rupanya si bekas pengurus pula yang naik jadi juri, bukan penyanyinya sendiri.

Kata teman Cik Pang, hal itu hanya diketahui Aiman selepas acara tamat.

Mujurlah pengurus itu tidak lagi mengurus Aiman, kalau tidak entah berapa banyak lagi auta dan kerja artisnya yang ‘dicaras’.

Cik Pang tak terkejut sebab dalam industri hiburan ini memang ramai pengurus bersikap seperti itu. Ibarat lebih sudu dari kuah.

Apa yang berlaku pada Aiman mengingatkan Cik Pang pada satu lagi kes seorang teman yang bengang dengan pengurus pelakon jelita, Emma Maembong yang dakwanya berlagak dengan media.

Apabila hal seperti ini berlaku, sudah tentu tempias nama buruk akan terpalit kepada artis terbabit. Pesanan Cik Pang buat mana-mana pengurus artis, seeloknya ingat mereka bekerja untuk siapa?

Cuba belajar daripada mereka yang berpengalaman bagaimana caranya untuk mengurus artis dan berdepan dengan media. Sebab dunia hiburan kita ini kecil sahaja, pusinglah ke mana pun, tetap akan bersua muka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:02 AM