RASAI keenakan daging ayam, lembu dan kambing dalam satu hidangan
RASAI keenakan daging ayam, lembu dan kambing dalam satu hidangan
HIDANGAN Triple Geo’s Burger.
HIDANGAN Triple Geo’s Burger.
JUHAIRI  (kanan) dan Fauzi bersama menu istimewa Geo’s Street Cafe.
JUHAIRI (kanan) dan Fauzi bersama menu istimewa Geo’s Street Cafe.
Oleh Suliati Asri dan Mohd Hafizan Mohd Rajab


Hidangan Triple Geo’s Burger dengan keju dan sos istimewa yang meleleh menutupi daging burger bakar tiga lapis sungguh menyelerakan.

Tatkala dijamah, kelembutan daging bakar dengan teksturnya yang berjus menjadikan ia hidangan cukup lazat.

Gabungan tiga jenis daging iaitu lembu, kambing dan ayam dalam hidangan Mixx Grill bersama sos lada hitam yang dibuat sendiri pula pasti membuatkan penggemar makanan Barat pulang dengan senyuman.

Ingin menikmati hidangan ini? Geo’s Street Cafe di Hartamas lokasinya.

Memulakan perniagaan pada Jun 2009 dengan nama Geo’s Street Cafe, restoran yang diusahakan dua beradik iaitu Ahmad Juhairi Mohd Khalid, 35, dan Ahmad Fauzi Mohd Khalid, 32, menawarkan pelbagai makanan Barat yang mempunyai keunikan rasa tersendiri.

Berkongsi keunikan rasa pada menu Triple Geo’s Burger yang juga hidangan popular di sini, Ahmad Fauzi, berkata membuat sendiri burger dan disediakan segar menjadi rahsianya.

“Keistimewaan Triple Goe’s Burger kerana dagingnya dibuat sendiri dan hanya disediakan segar setiap kali pelanggan membuat pesanan.

“Selain itu, cara olahan bahan membuat daging burger juga perlu menggunakan cara yang betul bagi memastikan daging burger bakar tetap lembut dan berjus apabila dinikmati pelanggan,” katanya.

Untuk hidangan Mixx Grill dan satu lagi hidangan popularnya iaitu chicken chop, perapan yang betul juga kunci kepada keenakan hidangan itu.

“Bagi menu steak dan chicken chop, daging biasanya diperap lama. Bagaimanapun, di sini kami tidak memerap daging bersama bahan perapan terlalu lama kerana mahu menjaga kesegaran rasa dagingnya.

“Daging punyai rasa manis tersendiri. Apabila diperap terlalu lama, bahan perapan akan menyerap dan sebati dengan daging menyebabkan rasa manis dan kesegaran daging itu hilang dan tidak terasa,” kata Fauzi.

Menambahkan keenakan, sekali gus menjadikan hidangan makanan disediakan di Geo’s Street Cafe punya kelainan tersendiri adalah daripada sosnya yang juga dibuat sendiri.

Kata Ahmad Juhairi pula, semua sos yang disediakan untuk menu yang dimasak adalah resipi sendiri yang diolah berdasarkan apa yang dipelajari khususnya di Internet.

“Kami tidak memiliki pengalaman atau pengetahuan dalam bidang masakan. Untuk menambah ilmu, kami banyak merujuk kepada sumber Internet seperti YouTube sebelum mengolah setiap menu mengikut cita rasa tempatan.

“Kami juga sentiasa membuat kajian dan pembangunan dalam penyediaan makanan untuk mendapatkan rasa dan tekstur makanan terbaik,” katanya.

Menyediakan bahan masakan hanya apabila mendapat pesanan daripada pelanggan juga kunci kepada keenakan hidangan di Geo’s Street Cafe.

“Kami memastikan setiap menu dihidangkan segar kepada pelanggan dan sentiasa memastikan proses penyediaan dilakukan sepenuh hati dan menggunakan bahan yang betul dan segar,” katanya.

Selain Triple Geo’s Burger dan Mixx Grill, hidangan lain yang perlu dinikmati saat berkunjung ke sini ialah pelbagai jenis pasta termasuk Butter Garlic Prawn Pasta, Fish & Chip, Lamb Chop dan banyak lagi.

Hidangan pembuka selera iaitu sup cendawan hanya akan dimasak apabila ada permintaan cukup menyelerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 11:57 AM