Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perbuatan pecah amanah boleh mencetuskan kerosakan dalaman sehingga melemahkan sesuatu pemerintahan sekaligus memudahkan kerja musuh dari luar.

Titahnya, justeru itu, sifat amanah dalam setiap perbuatan menjadi penentu kepada kesejahteraan ummah dan kemakmuran negara.

"Amanah bererti boleh dipercayai, jika sesuatu urusan dipertanggungjawabkan, urusan itu wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

"Sifat benar dan amanah berperanan utama dalam kepimpinan Rasulullah SAW dan kedua-dua sifat tersebut merupakan paksi utama untuk memastikan para pemimpin berupaya menunaikan tanggung jawab dengan jujur dan ikhlas, adil dan saksama," titahnya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Aman Jaya, di sini, sebentar tadi.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tunku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Raja Nur Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda, Tunku Suraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkipli serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 12:16 PM