LELAKI disangka menculik dua kanak-kanak. FOTO ihsan pembaca
LELAKI disangka menculik dua kanak-kanak. FOTO ihsan pembaca
Oleh Abd Rahman Adam


Kuching: Seorang lelaki disangka cuba menculik dua kanak-kanak dibelasah di pasar raya di Taman Sukma Ria, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.24 petang itu, lelaki berusia 40-an dibelasah apabila ibu kanak-kanak lelaki dan perempuan terbabit menjerit meminta tolong sebaik melihat lelaki itu cuba memaut bahu anaknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Ernest John berkata, kehadiran awal polis sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu meleraikan keadaan sekali gus menyelesaikan salah faham berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati lelaki itu sebenarnya diserang sawan secara tiba-tiba ketika mengunjungi pasar raya sama.

"Dia kemudian cuba memaut bahu dua kanak-kanak berusia antara lima dan lapan tahun yang kebetulan berada di sebelahnya bagi mengelak daripada terjatuh.

"Bagaimanapun, berlaku salah faham hingga menyebabkan lelaki itu dibelasah. Keluarga kanak-kanak itu sudah dimaklumkan berhubung salah faham berkenaan,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 10:49 AM