Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup dan merampas 100 kotak dipercayai digunakan untuk menyembunyikan ribuan kartun rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM150,000 dalam serbuan di Jalan Pasar Pudu, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata serbuan yang dijalankan hasil penahanan seorang wanita warga China berusia 44 tahun pada jam 5.30 pagi di kawasan berhampiran pasar pudu.

"Semasa ditahan wanita terbabit turut membawa tiga beg plastik berisi rokok seludup pelbagai jenama. Dan hasil soal siasat membawa kepada stor yang digunakan untuk menyimpan rokok itu," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, kejayaan merampas rokok seludup itu adalah hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan pihaknya selama beberapa hari sebelum serbuan dijalankan.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada pihak Kastam Wilayah Persekutuan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1957 dan Akta Imigresen Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 6:00 PM