AZIAN meluahkan perasaan di Instagram hingga disalah anggap peminat Farahdhiya.
AZIAN meluahkan perasaan di Instagram hingga disalah anggap peminat Farahdhiya.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Walaupun Gegar Vaganza musim kedua (GV2) ber­akhir Ahad lalu, kontroversi membabitkan peserta, Azian Mazwan Safuan dan Farahdhiya belum reda.

Ia bermula apabila penyanyi lama yang pernah popular dengan lagu Bukan Belas Bukan Simpati itu memuat naik status mengenai rasa tidak puas hatinya selepas tersingkir pada peringkat separuh akhir GV2.

Seperti dilaporkan SELEBRITI dalam ruangan Cik Pang minggu lalu, perkara itu menjadi ‘viral’ dan kumpulan peminat Farahdhiya dan Azian menjadikan luahan itu sebagai isu dan bahan ‘perang mulut’ antara satu sama lain menerusi laman sosial.

Antara lain, Azian mengatakan dia puas dapat menyanyikan lagu yang diberi produksi mengikut tema, Karok Tarik dan bersyukur dapat menyampaikan Sedalam Mana Cintamu dan bukan karok mendatar.

Kata Azian, dia tidak memetik nama sesiapa dalam luahan yang dimuat naik dalam laman sosial Instagramnya tetapi entah bagaimana, ada yang mengaitkannya dengan Farahdhiya.

“Ia tidak ditulis dalam blog sebaliknya dalam Instagram. Ia adalah ‘wall’ saya dan membabitkan luahan mengenai pandangan dan penyingkiran saya pada peringkat separuh akhir. Saya mahu memberitahu peminat perasaan saya ketika itu.

“Waktu sama, saya luahkan juga rasa terima kasih saya kepada peminat yang banyak menyokong sepanjang pembabitan saya dalam Gegar Vaganza musim kedua,” katanya.

Dalam luahannya itu, Azian juga mengucapkan tahniah kepada penyanyi yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, Siti Nordiana, Nassier Wahab, Ezad Lazim, Haiza, Achong dan Farahdhiya.

Pada peringkat separuh akhir, Azian dan Farahdhiya berada pada kedudukan paling bawah dan akhirnya Azian diumumkan tidak berjaya meneruskan perjuangan ke peringkat akhir.

“Cuma kata-kata yang dimuat naik itu, saya ada menyatakan pandangan secara umum mengenai pertandingan separuh akhir. Saya cuba mencari di mana silapnya tetapi tidak sangka pula ada pihak yang mengambilnya dan menjadikannya polemik hingga terkait nama peserta lain,” katanya.

Azian yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Bintang RTM menafikan polemik itu menyebab­kan hubungannya dengan Farahdhiya menjadi dingin. Katanya, antara mereka masih baik begitu juga dengan peserta lain.

“Hubungan saya de­ngan semua peserta sebelum terkeluar dan apabila tersingkir sama saja. Tambah pula sewaktu terkeluar itu, kami sempat bermaaf-maafan dan tiada konflik antara kami. Tapi peminat sengaja membesar-besarkannya,” katanya.

Penyanyi kelahiran Batu Buruk, Terengganu itu merayu supaya tiada lagi pihak cuba membangkitkannya kembali sehingga boleh menyebabkan hubungan baik antara peserta termasuk Farahdhiya akan terjejas.

“Saya sendiri reda dengan keputusan ini. Kalau saya tidak reda, pasti sampai sekarang hati saya tidak senang. Hendak dipersoalkan sangat buat apa sebab apabila menyanyi semua orang dapat bayaran sama, cuma bezanya antara kami mendapat bonus kerana bergelar juara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:01 AM