BARISAN bintang yang akan ke peringkat akhir GV.
BARISAN bintang yang akan ke peringkat akhir GV.
Syanty Octavia Amry


Persembahan bertenaga dan jauh lebih baik pada minggu separuh akhir kelmarin tidak memberi peluang bintang Gegar Vaganza (GV) musim kedua, Azian Mazwan Sapuwan mara ke pentas akhir yang akan berlangsung pada Ahad depan.

Mempertaruhkan lagu Sedalam Mana Cintamu nyanyian asal Safura, Azian akur apabila dia tersingkir.

Bertemakan Karok Tarik, Azian yang terlupa lirik ketika menyanyi mengakui berpuas hati dengan persembahan­nya pada malam itu.

“Saya puas hati dengan persembahan malam ini. Mungkin rezeki saya setakat ini sahaja.

“Apa yang berlaku di atas pentas bukan disengajakan dan tiada apa yang bermain di fikiran ketika itu.

“Tiga hari sebelum persembahan saya ingat lirik, tidak sangka ketika beraksi boleh terlupa pula,” katanya.

Mengulas kegiatan seni selepas ini, Azian berkata, dia akan bekerja seperti biasa dan menerima undangan menyanyi jika ada kelapa­ngan.

Enam bintang yang berjaya ke peringkat akhir GV ialah Haiza, Siti Nordiana, Acong Sweetchild, Farahdhiya, Ezad Lazim dan Nassier Wahab.

Masing-masing menyanyikan lagu Flora Cinta, Mengapa, Biasan, Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu, Tiada Lagi Kidungmu dan Biar Putih Tulang pada malam kelmarin.

Untuk persembahan final, mereka diberi dua tugasan iaitu persembahan solo dan berduet.

Konsert akhir GV yang akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor bakal menyaksikan juara membawa pulang wang tunai RM100,000 serta peluang menghasilkan single terbitan Astro.

Disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123), acara karpet merah turut diadakan pada jam 8.30 malam.

Mengulas persembahan artis, selaku juri tetap Datuk Ramli MS berkata dia tidak mahu dilabel pilih kasih apatah lagi semua finalis bukan artis yang diminatinya.

“Saya akui enam finalis tidak seperti yang saya harapkan.

“Pun begitu, saya perlu bersikap terbuka kerana tidak mahu dilabel pilih kasih.

“Mengenai pemilihan Farahdhiya, bagi saya persembahannya sudah cukup baik pada malam ini.

“Kita faham keadaan­nya yang berhadapan masalah suara. Dia tidak meniru Ramlah Ram dan menyanyi mengikut caranya,” kata Ramli.

Sementara itu, Farahdhiya pula mendedahkan pada awalnya ingin menarik diri berikutan masalah suara yang semakin teruk.

“Sudah dua pakar saya jumpa dan mereka hanya menyatakan peti suara saya ada jangkitan kuman.

“Saya tidak demam dan selesema, tetapi batuk yang membuatkan saya hampir hilang suara. Banyak ubat sudah saya telan termasuk ubat tradisional yang diberikan kawan-kawan.

“Sehari sebelum pertandingan suara saya sudah pulih sepenuhnya namun pada pagi sebelum persembahan tiba-tiba hilang semula. Ia buat saya putus asa untuk meneruskan persembahan.

“Terpilih ke peringkat akhir saya anggap rezeki dan hikmah di sebalik apa yang saya lalui ketika ini. Insya-Allah saya akan cuba berikan yang terbaik untuk pentas akhir nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:53 AM