Bukit Aman.
Bukit Aman.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza hari ini dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung suatu hantaran di halaman media sosial Facebook mengandungi imej didakwa seakan jata Negeri Pahang yang disunting dengan perkataan "House of Balak".

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam kenyataan malam ini berkata aktivis berkenaan dipanggil untuk dirakam kenyataannya di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang, JSJ.

"PDRM sedang menjalankan siasatan berhubung hantaran yang dimuat naik pada 3 Januari lalu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian," katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakannya untuk menyebarkan sebarang maklumat yang boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 11:35 PM