ANGGOTA Perhilitan melakukan pemeriksaan mengejut ke beberapa restoran bagi menghalang kegiatan penjualan daging hidupan liar dilindungi.
ANGGOTA Perhilitan melakukan pemeriksaan mengejut ke beberapa restoran bagi menghalang kegiatan penjualan daging hidupan liar dilindungi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


LANCAR 'perang' habis-habisan terhadap restoran yang disyaki menjual hidangan makanan 'pelik' berasaskan daging haiwan liar dilindungi secara haram.

Operasi gempur membabitkan pemeriksaan berpuluh restoran itu dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengesan pemilik premis yang bersekongkol dengan pemburu haram dalam menyajikan hidangan eksotik.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan mengejut itu dilakukan di restoran yang pernah memohon lesen niaga dari Perhilitan sebelum ini.

Dalam operasi jam 3.55 petang semalam, empat pegawai Perhilitan menyerbu sebuah premis perniagaan di Pekan Broga, Mantin, Negeri Sembilan,

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui daging babi hutan seberat 1.5 kilogram. Kewujudan daging itu menimbulkan curiga berikutan ia tidak direkodkan di dalam buku khas diwajibkan.

"Hasil pemeriksaan juga menemui dua ekor disyaki burung serindit yang disimpan tanpa lesen yang sah dan diletakkan di dalam sangkar besi di bahagian luar dapur premis berkenaan.

"Susulan itu suspek berusia 47 tahun disoal siasat dan dibawa ke balai polis Mantin untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, anggota Perhilitan Negeri Sembilan turut melakukan pemeriksaan terhadap enam lagi restoran di sekitar Mantin dan Lenggeng, Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) dilakukan oleh pemilik-pemilik premis berkenaan.

"Ada kemungkinan mereka ini bimbang dengan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membabitkan Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi lain," katanya.

Menurutnya, operasi dan pemeriksaan seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan daging hidupan liar seperti rusa, kijang, beruang, tenggiling dan pelbagai hidupan lain tidak diburu secara haram.

"Sebelum ini Perhilitan pernah merampas pelbagai daging hidupan liar yang dikesan dijual sebagai hidangan eksotik di restoran tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 4:30 PM